JANUARY 2007

PILIHAN RAYA KECIL N06 BATU TALAM

PUBLISHED ON 25TH JANUARY 2007

KENYATAAN MEDIA – Parti Keadilan Rakyat (keADILan)

24 Januari 2007

PILIHAN RAYA KECIL N06 BATU TALAM

28 JANUARI 2007-KES PENENTU SAMA ADA SPR MAMPU MEMBEBASKAN DIRI DARI CENGKAMAN POLITIK Umno- BARISAN NASIONAL

Kenyataan TPM, Datuk Seri Najib Razak bahawa 90% daripada pengundi akan keluar mengundi dan Umno yakin akan menang dengan majoriti melebihi 3000 undi adalah pertanda akan berlaku kepincangan besar dalam pilihan raya kecil Batu Talam pada hari mengundi 28hb Januari 2007 nanti. Di dalam keadaan di mana sebelum ini Tan Sri Rashid pengerusi SPR sendiri telah membuat kenyataan bahawa pilihan raya di Malaysia tidak telus dan tidak bebas serta media juga dikawal, dan beliau juga dilaporkan telah mencadangkan satu Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya ditubuhkan, maka parti-parti pembangkang ada justifikasi untuk menyatakan kenyataan di atas.

1. Menurut keputusan pilihan raya umum ke-11 2004, jumlah pengundi ialah 10,866. Calon BN menang dengan majority 2761. PAS telah mendapat hampir 30% sokongan daripada para pengundi yang keluar mengundi. Itu bermakna bahawa 30% para pengundi yang layak mengundi, sudah berjanji tidak akan memboikot pilihan raya kecil kali ini.

2. Tinjauan serta kaji selidik parti-parti pembangkang dan NGO menunjukkan bahawa bilangan besar pengundi di Batu Talam faham dasar boikot bagi mendesak satu Sistem Pilihan Raya yang bebas dan adil dari penyelewengan dan campurtangan politik. Maka dipercayai bahawa mereka akan menuntut hak mereka terhadap SPR untuk melaksanakan dasar tersebut

3. Pengundi atas pagar juga tidak menunjukkan minat untuk keluar mengundi kerana merasa undi mereka tidak diperlukan dalam keadaan Umno menjangkakan kemenangan senang calon mereka di samping calon hingusan dari bebas.

Dengan tegas, barisan parti pembangkang akan memantau secara teliti dan rapi jumlah dan aliran para pengundi pada hari mengundi 28hb. Januari 2007. Demi maruah dan nama baik mereka, SPR mesti memenuhi tuntutan melaksanakan reformasi pilihan raya agar ianya bersih, bebas dan telus!

Hjh Fuziah Salleh

Ketua Wanita

Parti Keadilan Rakyat (keADILan)

Boikot jangan tak boikot!

PUBLISHED ON 18TH JANUARY 2007

Ajal pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga dengan pilihanraya kecil di Malaysia. Ianya akan berlaku apabila seseorang wakil rakyat meninggal dunia. Yang terkini ialah pilihanraya kecil DUN 06 Batu Talam di daerah Raub, Pahang. Batu Talam yang terkenal penuh dengan misteri Mona Fendi dan Dato Mazlan kini berdenyut kembali.

TPM, Najib Razak membuat kenyataan bahawa pembangkang tidak ada isu untuk diketengahkan dalam pilihanraya ini. Khairy, menantu kesayangan Abdullah Badawi pula menuduh Anwar dan barisan pembangkang sebagai pengecut kerana memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.

Alangkah melesetnya pemikiran kedua-dua pemimpin UMNO tersebut.

Kasihan penduduk Batu Talam, mereka kini sedang menghadapi keadaan sektor pertanian yang lembab, masalah penempatan FELDA yang tak kunjung selesai, dan sering mengalami banjir kilat apabila hujan lebat. Kedengaran juga rungutan rakyat Batu Talam berkenaan jambatan gantung yang berusia 30 tahun belum pernah diganti walau sekali. Jangan nanti ada yang mati katak kerana aspek keselamatan jambatan tersebut diabaikan.

Kini kedengaran sama dicelah bunyi menderam kenderaan yang memperbaiki jalan, suara-suara yang berani dari kalangan mereka yang mengatakan bahawa masalah mereka hanya akan temui janji untuk diselesaikan bila pilihanraya menjelang. Kebiasaannya memang begitulah budaya politk BN. Rakyat akan makan hati berulam jantung di waktu antara satu pilihanraya hingga ke pilihanraya yang akan datang. Nah, kali ini bergembiralah wahai rakyat Batu Talam kerana habuan kamu sudah pun tiba.

Lebih kasihan lagi bagi rakyat Batu Talam, calon Umno-BN yang akan bertanding adalah seorang yang sedang melalui saman mahkamah oleh orang Umno sendiri yang tidak berpuashati dengan kontrak yang telah dibatalkan. TPM Najib Razak kata anak tempatanlah yang akan memberikan khidmat kepada orang Batu Talam nanti. Seolah-olah tidak ada orang lain lagi untuk dijadikan calon. Malang seribu kali malanglah bagi rakyat Batu Talam.

Mereka kata kita pengecut akan tetapi, saya kira, mereka yang mencampuri urusan SPR, di mana SPR sepatutnya menjadi badan bebas bagi mengendalikan proses pilihanraya dalam negara, mengamalkan demokrasi yang merupakan pengecut sebenar. Mereka ini hanya berani menghunus keris, kononnya pembela nasib bangsa ketika di atas pentas. Pengecut yang tahu bahawa mereka akan kalah sekiranya proses demokrasi dan pilihanraya yang bersih dibenarkan berlaku.

Dalam masa yang sama, ada juga golongan penyokong mahupun pendokong parti yang kurang faham kenapa berlakunya pemboikotan ini. Ada juga yang mengandaikan bahawa kita akan boikot semua Pilihanraya di masa akan datang termasuk Pilihanraya Umum. Takkanlah kita mahu beri Barisan Nasional menang percuma dan Kerajaan BN bermaharajalela sampai bila-bila? Cukuplah dengan penipuan mereka terhadap rakyat! Cukuplah juga dengan mereka memijak kepala kita selama ini dan menghabiskan harta negara untuk perut buncit mereka serta kroni-kroni mereka. Marilah kita hayati bersama bahawa usaha kita memboikot ini adalah semata-mata untuk menyiapkan padang yang lebih rata untuk kita bertanding dalam Pilihanraya umum yang akan datang. Maka dengan itu jangan kita pandang remeh usaha ini. Dengan itu juga kita harus tidak duduk diam kerana kita hanya ada masa beberapa bulan sahaja sebelum Pilihanraya Umum ke-12. Kita harus pikul tugas menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa selagi pilihanraya tidak dilaksanakan secara adil dan bebas maka selama itulah hak mereka akan dinafikan. Hakikatnya, Malaysia yang dipimpin oleh Umno-BN bukanlah negara demokrasi yang menjamin hak rakyat bahkan pemimpin BN mendidik rakyat untuk tidak menghirau hak orang lain demi untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Dengan pengakuan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman, baru-baru ini bahawa SPR tidak telus dalam mengendalikan proses pilihanraya serta organisasi tersebut juga tidak bebas dari campurtangan parti pemerintah, sudah cukup menjadi hujah untuk kita menegaskan pendirian kita untuk Reformasi Proses Pilihanraya. Apatah lagi apabila kita menyingkap segala penyelewengan yang berlaku pada pilihanraya umum ke11 tahun 2004 yang telahpun dilaporkan didalam buku Sham Democracy terbitan Parti Keadilan Rakyat, menambahkan lagi kukuhnya hujah kita. Hakikatnya, Reformasi Proses Pilihanraya masih belum bermula malah Kerajaan BN akan menentang perkara tersebut habis-habisan. Apakah payah sangat bagi mereka untuk mewujudkan demokrasi yang bersih dan berintegriti? Pemboikotan pilihanraya kecil Batu Talam adalah tanda protes yang mendalam terhadap segala kepincangan SPR dan desakan agar berlaku segera perubahan-perubahan yang wajar untuk melahirkan demokrasi tulin yang berintegriti di Malaysia.

Ayuh teman-teman, kita gunakan kesempatan ini untuk menyeru kepada orang ramai tentang bagaimana penyelewengan yang dilakukan oleh SPR dan terselewengnya Proses Pilihanraya di Malaysia. Malah tanggungjawab ini sama pentingnya dengan tanggungjawab keluar mengundi. Memahami proses demokrasi, mendidik orang lain untuk memahaminya, menyampaikan mesej tersebut kepada yang lain di sekeliling kita adalah tuntutan demi mewujudkan negara dan bangsa yang berintegriti. Saya kira ianya satu usaha yang berbaloi untuk kita buat sungguh-sungguh. Kita tidak akan rugi apa-apa, malah siapa tahu satu hari nanti mungkin negara kita juga akan tergolong di dalam negara yang mempunyai sistem pilihanraya yang dihormati dan pada ketika itu, kita tahu bahawa kita telah pun memberikan sumbangan kita!

Kalah pertempuran, menang peperangan

PUBLISHED ON 11TH JANUARY 2007

Berita mengenai boikot pilihanraya kecil Batu Talam adalah sesuatu yang dijangkakan oleh para pemimpin Barisan Rakyat. Pengakuan Pengerusi SPR tentang pelbagai kelemahan SPR merupakan isu-isu yang telah sekian lama dibentang oleh barisan parti-parti pembangkang (Barisan Rakyat) kepada SPR dan pihak berkuasa. KeADILan juga telah mengemukakan laporan lengkap (http://www.malaysia-today.net/Sham_Democracy.pdf ) beserta bukti-bukti yang jelas kepada SPR untuk diambil tindakan wajar dengan segera. Belum ada apa-apa perubahan yang menjamin ketelusan dan keadilan di pihak SPR setakat ini.

Oleh itu, pilihanraya kecil Batu Talam merupakan suatu pilihanraya yang berat sebelah dan tidak adil kepada pihak lawan BN (http://malaysia-today.net/blog2006/beritankom.php?itemid=1800).

Rakyat, khususnya para pengundi di Batu Talam, diseru untuk menyokong pemboikotan ini dan tidak keluar menundi pada hari mengundi nanti. Dengan itu, memberikan isyarat yang kukuh terhadap ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan BN dan menjadikan kemenangan BN sebagai tidak membawa apa-apa erti.

Sebuah kerajaan yang manganjurkan integriti dalam semua aspek dan hal, tidak akan hanya menghamburkan slogan, sewajarnyanya benar-benar membiarkan proses domokrasi tulin dan keadilan berlaku dalam sebarang pilihanraya.

Setakat ini, belum nampak sebarang tanda bahawa SPR sudah meninggalkan imejnya sebagai “salah satu parti komponen BN.”

Subsidi Rakyat Ditarik, Syarikat Diselamatkan

PUBLISHED ON 5TH JANUARY 2007

Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Suara Keadilan bertarikh 27 Disember 2006 – 10 Januari 2007 di ruangan SERIKANDI LESTARI.

—————————————————————————————

Subsidi Rakyat Ditarik, Syarikat Diselamatkan

Tol naik lagi? Mengeluh orangramai. Kenaikan tol yang akan berkuatkuasa pada 1hb Januari tidak sepatutnya menjejaskan harga barangan, terutama barangan makanan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Shafie Apdal.

Shafie menambah dia tidak nampak apa alasan untuk menaikkan harga kerana kenaikan pada kadar tol kurang 1% kos pengangkutan dan pengeluaran.

“Banyak jalan yang digunakan untuk menghantar barangan tidak melalui jalan-jalan yang bertol, dan di mana mereka perlu bayar tol, jumlahnya kecil saja,”katanya.

Kementerian akan memantau dengan lebih dekat ke atas harga barangan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan, dia menambah.

Itulah janji dan ikrar yang diberi setiap kali harga sesuatu perkhidmatan dinaikkan, namun peniaga tetap menaikkan harga barangan.

Segala kenaikan: minyak, tol, tarif elektrik, akan meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Adakah kerajaan bersedia untuk mendedahkan perjanjan yang telah dipersetujui dengan syaikat konsesi kepada pengetahuan awam bagi membuktikan kenaikan yang akan dikuatkuasakan adalah wajar?

Jika kerajaan sanggup, maka rakyat akan melihat kewajaran kenaikan yang dicadangkan, tetepi apa yang berlaku kini, isi kandungan perjanjian tersebut tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Setiap kali tol naik, semua harga barang yang lain naik juga. Namun satu saja yang tidak naik, gaji pekerja – masih sama sejak tiga tahun lalu!

Bagaimana rakyat mampu menghadapinya? Bagaimana anak-anak mereka yang akan ke sekolah masuk tahun 2007 ini?

Dari menaiki kereta, mungkin ada yang terpaksa menaki motosikal sekarang. Bagi mereka yang bermotosikal mungkin juga akan bertukar menggunakan basikal. Apa sudah jadi dengan Malaysia yang dikatakan maju dan mempunyai ekonomi yang memberangsangkan dan “menjadi contoh ikutan” negara-negara menbangun yang lain?

Tidak hairanlah kadar jenayah semakin meningkat kerana sungguh sukar memastikan pendapatan yang sedia ada memenuhi keperluan asas keluarga.

Jika kerajaan ingin mengenakan tol di jalan-jalanraya, kenapa tidak dikecualikan cukai jalan seperti apa yang berlaku di Thailand.

Jadi, apabila kerajaan mengatakan Malaysia mengenakan tol yang terendah di Asia, perlu diingatkan bahawa negara-negara yang mengenakan tol yang tinggi tidak mengenakan cuka jalan. Maklumat itu tidak pernah diceritaka kepada rakyat oleh para menteri setiap kali berlaku kenaikan.

Sementara kerajaan menyatakan ketidakmampuannya menanggung subsidi kepada lebuhraya, pada masa yang sama ia cuba mewajarkan penggunaan wang rakyat pembayar cukai berjumlah RM11 bilion bagi mengambilalih projek-projek penswastaan yang gagal; RM3.256 bilion untuk Star LRT dan RM4.486 bilion untuk Putra LRT.

Begitu juga RM2.802 bilion untuk Malaysia Airlines System Bhd (MAS), RM142 juta bagi Lebuhraya Seremban-Port Dickson oleh projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd (PLUS), RM 135 juta bagi Penjara Bandar Kuching, RM192.54 juta bagi Skim Pembentungan Nasional daripada Indah Water Konsortium, RM8.3 juta bagi Unit Penyelidika Makana Muslim barangan Pengguna yang kini di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Daripada kerajaan membelanjakan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat-syarikat tersebut dan membazir dalam acara-acara yang mewah-mewah seperti Piala Monsoon I Terengganu yang tidak memberi manafaat kepada majoriti rakyat, adalah lebih bijak kerajaan terus membayar subsidi untuk rakyat jelata.

Kerajaan selah-olah tidak sensitif kepada penderitaan rakyat dan terus menghimpit rakyat dari semua sudut. Begitu juga janji dan ikrar Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah dalam perkhidmatan awam dan badan-badan agensi kerajaan. Tetapi sehingga sekarang impian rakyat untuk melihat negara bersih dari rasuah kian pudar.

Siapakah yang meletakkan pemimpin yang sedemikian untuk memegang amanah meerajui pentadbiran negara?

Rakyat! Rakyatlah yang sebenarnya berkuasa memilih sesapa saja untuk dijadikan pemimpin. Maka sebahagian kesengsaraan dan ketidakpuasan hati rakyat adalah disebabkan oleh rakyat sendiri. Tapi rakyat juga berkemampuan merobahnya…dengan memilih pemimpin-pemimpin yang bersih, jujur dan amanah, berpandangan luas, meluaskan kebaikan, menyatakan yang benar walaupun tidak menjadi popular, dan menunaikan segla janj tanpa ditangguh-tangguh.

Dalam kehidupan ini, impian adala permulaan kepada kenyataan atau realiti yang bakal dikecapi.

Malaysia baru menjadi impian rakyat; Malaysia baru yang menyantuni rakyat, yang menyebarluaskan rezeki anugerah Tuhan kepada yang berhak, yang menghidupkan kebersamaan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama, dan yang dipimpin oleh barisan rakyat yang memerangi habis-habisan sebarang bentuk kezaliman yang wujud di Malaysia hari ini.

Malaysia Baru hendaknya mengutamakan pengagihan kekayaan negara dengan bijaksana dan adil, yang menjadi pelindung kepada mereka yang lemah, yang menganjurkan berbuat baik kepada mereka yang memerlukan, dan yang mendidik pemimpin dan rakyat saling mewujudkan hubungan yang bersih, jujur dan amanah.

Malaysia Baru adalah Malaysia yang bebas dari tipu helah para pemimpin yang diruntun nafsu, mementingkan diri, dan mengabaikan tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat.

Hjh Fuziah Salleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *