PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Arkib

1. BAHAS TITAH DIRAJA, PENGGAL KE2

Tuan Yang Di Pertua

Terima Kasih diatas peluang untuk saya terlibat  sama didalam membahas  titah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda yang di Pertuan Agung, sewaktu perasmian mesyuarat pertama penggal Kedua baru-baru ini.

Tuan Yang Di Pertua,

Petang semalam, saya menerima panggilan daripada pegawai khas saya berkenaan aduan daripada salah seorang rakyat di Kuantan yang merupakan seorang ibu kepada OKU. Beliau (ibu OKU tersebut) telah pergi ke pejabat JKM daerah untuk memohon bantuan  dengan membawa borang CARI yang telah disahkan oleh saya yang merupakan Ahli Parlimen beliau. Malangnya beliau diberitahu oleh pegawai JKM bertugas bahawa tandatangan saya tidak boleh pakai ataupun ‘tidak laku’. Beliau diminta datang semula dengan membawa borang CARI yang ditandatangani oleh seorang  wakil rakyat BN. Ayat yang di gunakan oleh pegawai JKM tersebut ialah “Kamu hantar 1000 keping borang, 1000 keping saya reject” Pegawai tersebut kemudiannya memberi si pengadu borang baru dan menyuruh si pengadu mendapatkan tandatangan YB BN. Saya mohon Menteri memberikan penjelasan yang munasabah berkenaan perkara ini. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Sebelum ini ada  juga saya dengar tentang hal ini dari salah seorang pegawai JKM daerah pada hujung tahun lepas. Katanya kepada pegawai saya. “Bagitau kepada YB, tak payahlah susah-susah tolong rakyat dengan tandatangan borang CARI ni, kerana tidak akan dilayan. Kerana yang  akan dilayan hanyalah borang yang ditandatangan wakil rakyat BN.”

Malah saya juga terima aduan bahawa JKM di negeri Pakatan Rakyat ada mengamalkan perkara yang sama. Namun pada ketika itu saya tidak ambil peduli. Saya memilih untuk memberi penghormatan dan integriti kepada Menteri dengan memilih untuk mempercayai percaya kata-kata seorang Menteri atau timbalan menteri.

Beberapa kali sudah saya bertanya didalam dewan yang mulia ini perihal sikap tidak professional dan diskriminasi dipihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini, akan tetapi Menteri setiap kali menafikannya. Sekarang ini, saya benar-benar pohon penjelasan dari Menteri, dan jangan berdolak dalik lagi.

Tuan Yang Di Pertua,

Saya sudah cukup muak dengan lakonan ini. Saya juga ingin beritahu kepada pihak BN bahawa cara yang digunakan untuk hukum rakyat yang telah memilih seorang wakil rakyat dari pembangkang untuk mewakili mereka di Parlimen merupakan satu taktik kotor dan tidak bermaruah. Sedarlah dari tidur dan bangkitlah dari politik murahan tersebut. Rakyat kini tidak bodoh. Mereka telah bersuara, dan membuat pilihan. Mereka telah memilih seorang wakil rakyat untuk berkhidmat. dan mereka juga mahukan seluruh kakitangan Kerajaan yang berkhidmat secara professional.

Insiden tersebut tentu sekali mengecewakan saya akan tetapi saya saya lebih kecewa dengan sikap menteri yang setiap kali menafikan, masih dalam ‘denial syndrome’.

Tuan Yang Di Pertua

Pembangunan wanita merupakan satu aspek pembangunan modal insan yang amat-amat strategik kerana ia melibatkan  separuh dari rakyat Malaysia. Maka program-program memberdaya dan membangunkan  wanita mesti di beri tumpuan serius.

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada peranan  Majlis Pembangunan  Wanita dan Keluarga didalam hal ini.  Saya dapati agak banyak aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan anjuran Majlis ini, contohnya pngurusan emosi, bagus sekiranya semua lapisan wanita dapat memanfaatkan ilmu dari program tersebut.

Namun ada beberapa perkara di mana pihak kementerian khususnya menteri perlu lebih telus dengan menjelaskan beberapa kekeliruan;

(i)            Majlis Kebangsaan Pembangunan Wanita dan Masyarakat -Kementerian perlu menjelaskan mengapa didalam Laman Web Rasmi Kementerian, dipaparkan bahawa Pengerusi Majlis Kebangsaan Pembangunan Wanita dan Keluarga ialah Y.B Dato’ Seri Shahrizat  bt. Abdul Jalil. Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Apakah muslihat disebalik  paparan ini di laman web rasmi Kementerian? Saya tahu bahawa pengerusi Majlis Kebangsaan ialah Dato’ Seri Shahrizat Jalil seorang Penasihat di Jabatan Perdana Menteri, yang berstatus Menteri, siap dengan kakitangan, akan tetapi harap pihak Kementerian dapat memberi maklumat yang tepat dalam hal ini.

(ii)          Majlis Pembangunan Wanita dan Masyarakat  Negeri-Kementerian perlu menjelaskan mengapa Laman Web Rasmi tersebut menyatakan  bahawa Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Negeri ialah ahli Majlis Mesyuarat Tetap Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan, sedangkan perkara ini tidak berlaku dinegeri-negeri Pakatan Rakyat?

(iii)         Majlis Pembangunan Wanita Peringkat Parlimen- Maklumat di Laman Web Rasmi Kementerian menyatakan bahawa Pengerusi  dan timbalan pengerusi Majlis diperingkat Parlimen ialah di calonkan oleh Menteri Besar. Perkara ini juga tidak berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Menteri juga perlu menjelaskan apakah benar bahawa Pengerusi Majlis di peringkat Parlimen terdiri daripada Ketua-Ketua Wanita UMNO bahagian di kawasan Parlimen tersebut?

Sekiranya Majlis Pembangunan Wanita merupakan wadah untuk membangunkan wanita, mengapakah Kementerian tidak bersikap telus dan adil didalam hal ini? Saya ulang, saban kali saya membangkitkan isu  diskriminasi berlandaskan fahaman politik ini didalam dewan ini akan tetapi setiap kali, saya mendengar jawapan daripada Menteri bahawa perkara ini tidak berlaku.

Persoalan saya, mengapakah pihak Kementerian tidak mampu menganjakkan minda serta memberi tumpuan wajar di tempat yang sepatutnya dengan cara menangani permasalahan wanita yang sebenar, yang kita semua tidak boleh dinafikan?  Wanita dalam masyarakat masih ramai yang tidak terbela, masalah jenayah yang melibatkan wanita, penderaan sexual, masalah undang-undang yang tidak menyebelahi wanita semuanya merupakan bidang yang harus diberikan tumpuan oleh pihak kementerian. Saya ingin mencadangkan disini supaya  Pembelaan Wanita Islam dipertingkatkan melalui menambah peruntukkan untuk meningkatkan perkhidmatan Mahkamah Syariah. Menambah bilangan staff supaya kes-kes aduan dapat di selesaikan dalam jangka masa singkat. Perlu di wujudkan SOP berkenaan dengan response time menyelesaikan kes-kes aduan, serta juga perlu di pinda undang-undang berkenaan dengan tuntutan nafkah anak oleh wanita yang di ceraikan suami. Setakat ini kaum lelaki selalunya tidak dapat dihukum sekiranya mereka tidak membayar nafkah yang telah ditetapkan. Apakah pihak Kementerian ada mencadangkan kepada pihak-pihak yang terbabit berkenaan pindaan undang-undang yang membolehkan potongan kepada wang KWSP untuk membayar pembayaran nafkah yang tertunggak, contohnya?

Saya benar-benar berharap  Menteri memberi tumpuan kepada aspek tugas mereka yang sebenar.

Tuan Yang Di Pertua

2.             Duli yang Maha Mulia menitahkan kita (Perenggan 33) tentang bagaimana peri pentingnya memelihara alam sekitar,  supaya kita sama-sama berusaha lebih gigih untuk menangani kemerosotan kualiti udara, air dan persekitaran. Baginda menitahkan juga bahawa usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak  termasuk orang ramai, para pengusaha ladang dan ternakan serta pihak industri demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang. Sebagai seorang wanita dan seorang ibu, saya amat mengambil berat   tentang hal ini, kerana alam sekitar dan bumi ini merupakan anugerah dan warisan kita kepada anak cucu.

Sehubungan hal ini saya ingin membangkitkan kepada pihak Menteri satu persoalan yang telah pun saya bangkitkan pada penggal lepas yang berkenaan persoalan pembinaan satu Advance Material Plant yang sedang dalam pembinaan di Gebeng Kuantan. Kilang ini bakal mengeluarkan sisa radioaktif, yang amat-amat di khuatiri kesannya keatas keselamatan orang awam.

Tuan Yang Di Pertua,

Sehingga kini belum ada maklumbalas tambahan dari menteri, berkenaan cadangan saya supaya pihak kementerian menganjurkan satu Kajian terperinci DEIA (Detailed Environmental Impact Assessment). Kerana DEIA akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui secara telus berkenaan impak projek tersebut kepada persekitaran yang melibatkan kawasan mereka tinggal dan membesarkan anak-anak, Ini kerana DEIA menuntut laporan EIA di pamerkan dan membolehkan orang ramai terlibat sama dalam proses membuat keputusan yang melibatkan persekitaran mereka. Ini mungkin cara baru dalam Good Governance (urustadbir baik) dan juga  diantara best practice pengurusan alam sekitar yang mungkin pihak menteri BN tidak biasa melaksanakan. Akan tetapi saya rayulah kepada pihak Menteri untuk keluar daripada mindset lama dan mula bergerak kehadapan dengan mengamalkan best practice ini.

(Detailed EIA is a procedure undertaken for those projects with major/significant impacts to the environment. The detailedassessment involve EIA report display for the public and affected community to comment).

Tuan Yang di Pertua,

Sehubungan dengan itu saya juga mohon penjelasan  mengapa syarikat asing ini dianugerahkan ‘strategic pioneer status’ oleh MIDA yang membawa implikasi dimana syarikat ini akan dikecualikan cukai  import dan export selama 12 tahun, disamping pengecualian cukai membawa masuk peralatan ke dalam Negara. Sekiranya pihak Kerajaan ingin mengatakan bahawa perusahaan ini membawa keuntungan kepada rakyat, saya tidak lihat rasional penganugerahan ‘strategic pioneer status’ ini.

Jelas;

(i)            rakyat akan berhadapan dengan risiko keselamatan pencemaran sisa radioaktif,

(ii)          rakyat juga tidak akan dapat berkongsi keuntungan dari cukai keatas syarikat asing ini.

(iii)         Siapakah yang akan mengaut keuntungan at the expense of the rakyat/

Saya kira rakyat perlu di beri penjelasan dan Menteri-Menteri  yang terbabit sila perjelaskan.

Tuan Yang Di Pertua,

3. (Perenggan 11) Duli Yang Maha Mulia  telah bertitah berkenaan  langkah-langkah menggiatkan aktiviti keushawanan masyarakat FELDA serta program membangunkan sosioekonomi generasi kedua dan ketiga

Kita bersyukur kerana  generasi kedua dan ketiga FELDA merupakan golongan muda yang sudah menerima pendidikan di institusi pengajian tinggi. Harapan kita ialah supaya mereka dapat meneruskan  usaha ibu bapa mereka generasi pertama disamping  membawa  profesionalisma keushawanan didalam pendekatan perladangan mereka. FELDA pula kita harapkan untuk dapat memainkan peranan mendidik dan mengangkat mertabat mereka sebagai ‘partners in development’ rakan kongsi pembangunan.

Walaupun di kawasan saya tiada  rancangan FELDA namun di Negeri saya ramai peneroka FELDA, dan mereka sering mengeluh mengadu permasalahan mereka kepada saya.

Tuan Yang di Pertua,

Kebelakangan ini ada beberapa rungutan dari pihak peneroka generasi kedua dan ketiga FELDA yang wajar di berikan perhatian. Diantaranya ialah berkenaan penjualan buah sawit  kepada kilang FELDA. Kemudian di buat pula pemotongan keatas bayaran sebanyak 20-30% dengan alasan bahawa untuk memastikan hutang-hutang mereka kepada dibayar. Kemudian pada bulan hadapan pemotongan tersebut di langsaikan akan tetapi di potong lagi 20-30% bayaran untuk jualan bulan yang baru tersebut. Masalahnya tuan yang di pertua, perkara ini berlaku across the board, tanpa mengambil kira samada peneroka ini ada hutang atau tidak. Mengapakah didalam zaman IT ini,tidak ada system berkomputer dimana boleh dikenalpasti  yang mana peneroka ada berhutang, yang mana perlu dibuat  pemotongan dan yang mana tidak?. Tidak bolehkah diberikan penyata berkala kepada peneroka berkenaan dengan status hutang mereka beserta dengan penerangan seperti pihak bank, Mengapa pengurusan FELDA  mempamerkan urustadbir yang sungguh-sungguh tidak efficient? Memandangkan Timbalan Perdana Menteri yang bakal menjadi Perdana Menteri juga dari negeri saya, dimana beliau selalu mengatakan bahawa beliau memperjuangkan nasib peneroka, tidak faham saya kenapa isu pengurusan sebegini kecil tidak dapat diselesaikan.

Terima Kasih

BAHAS  USUL TERGEMPAR BERKENAAN HARGA  DIESEL BERSUBSIDI  & LAIN-LAIN PERMASLAHAN NELAYAN

18 Disember 2008

Tan Sri Yang di Pertua,

Harga diesel bersubsidi semenjak Jun 2006 sehingga Jun 2008 ialah RM1.00. Akan tetapi sejak ianya dinaikkan kepada RM1.43 ianya baru melalui proses penurunan harga hanya sekali kepada RM1.30. Dikala harga petrol dan diesel untuk konsumer awam  telah di reviu sebanyak 7 kali sejak Jun 2008 pihak Kerajaan masih berdegil didalam  tidak mahu menurunkan harga diesel bersubsidi dengan alasan bahawa  sudah terlalu banyak insentif yang diberikan kepada  nelayan

  1. Saya quote ayat   Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai berkata :-

“Peruntukan untuk insentif pendaratan adalah RM130 juta setahun, dan jangkaan tuntutan adalah RM11 juta sebulan tapi yang dituntut cuma RM2.9 juta saja.

“Ini bermakna mereka juga mendapat pendapatan yang besar kerana mereka tidak memerlukan insentif ini, (malah) ada yang takut buat pengisytiharan, takut pihak lain mendapat rahsia kejayaan mereka.

“Harga ikan pun dah naik secara purata RM1 sekilogram berbanding tahun lalu. Ini membuktikan mereka tidaklah susah,” . Menteri turut berkata “ Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil,”

Tan Sri Yang Di Pertua,

  1. Ini merupakan satu kenyataan yang tidak adil dan tidak tepat. Sekiranya Menteri  yang bertanggungjawab terhadap kebajikan Nelayan telah membuat kenyataan begini, apalah harapan yang ada buat nelayan? Kemana lagi mereka nak mengadu?  Menteri telah  membuat satu andaian dari kenyataan tersebut  bahawa Nelayan tidak memerlukan insentif, sebab itu ianya tidak di tuntut. Saya ingin bertanya disini samada pihak Menteri telah benar-benar buat kajian, buat homework dahulu sebelum membuat kenyataan  ini. Lagipun pihak Menteri di dewan yang mulia ini pernah berkata didalam sesi jawab soalan  bahawa isu diesel subsidi ini bukan dibawah Kementerian beliau. Apa yang sebenarnya dan Menteri mana yang bertanggungjawab?

Tan Sri Yang Di Pertua

  1. Secara purata bot pukat tunda Class C keluar 2 kali sebulan (selama 12 hari) dan perlu membeli sejumlah  24,000 litre diesel sebulan. Maksudnya mereka menggunakan lebih kurang 12,000 liter diesel satu kali keluar   Dengan harga diesel bersubsidi RM 1.30  ini bermaksud  mereka perlu bayar RM7200 tambahanuntuk diesel sebulan (untuk 2 trip) Keadaan Ini menambahkan kos operasi mereka sebanyak 60 % dan  terlalu membebankan untuk rakyat golongan nelayan
  1. Menteri juga berkata tentang Insentif Pendaratan sebanyak 10 sen sekilo hasil tangkapan bot-bot pukat tunda

Satu bot begini selalunya ambil masa 12 hari satu trip dimana, hasil tangkapan   ialah dalam 16,000 kilo (16 metric ton) buat satu  perjalanan kelaut. Dengan 10 sen sekilo insentif pendaratan, maka  untuk 32,000 kilo sebulan sekiranya dituntut kesemuanya berjumlah RM3200 sebulan. Ini merupakan hanya 50% dari kos tambahan mereka membeli diesel, iaitu(RM7200) . Jauh beza jumlah tersebut. Ini pun kalau sekiranya dapat claim semua. Dimasa yang sama  ramai juga diantara pengusaha bot pukat tunda ini tidak tahu proses bagaimana mendapat insentif tersebut. Dari maklumat yang saya terima hanya 30% sahaja tuntutan mereka diluluskan. (Ini konsisten dengan kenyataan pihak Menteri). Lebih buruk lagi apabila pegawai LKIM tidak dapat memberi penjelasan kenapa tuntutan mereka tidak diluluskan

  1. Kemudian Menteri juga  berkata tambahan kuota sebanyak 4000 litre sebulan telah di peruntukkan kepada Bot Pukat Tunda. Sedarkan pihak Menteri bahawa satu bot pukat tunda class C sudah pun mendapat peruntukan kuota untuk diesel bersubsidi.sebanyak lebih kurang 28,000 litre sebulan.

Isunya disini, allocated quota tu mencukupi, masalah mereka ialahavailability. Selama ini masalahnya mereka nak beli diesel tapi dieselnya yang tak mencukupi. Keadaan ini sering berlaku waktu hujung bulan.

Kerana apa? Kerana selama ini Jumlah kuota yang ditetapkan di peruntukkan kepada nelayan tidak sama dengan jumlah diesel yang dapat dijual oleh pembekal. Contoh Kuantan yang punyai 374 jumlah bot berdaftar. Jumlah  kuota yang diperuntukkan kepada pula ialah 5.7 juta liter. Akan tetapi jumlah diesel yang dapat dijual oleh pihak PNK (Persatuan Nelayan Kuantan) ialah 4 juta liter kerana ini sahajalah yang dibekalkan olek NEKMAT. PNK dapat tak cukup, nak jual macamana. Bagilah tambahan kuota banyak mana  pun tapi kalau minyak nak beli tak ada apakah gunanya?

Menteri harus faham,‘Availability ‘tidak bermaksud ‘assesibility’. Oleh kerana itu menambah kuota 4000 litre sebulan tidak akan menyelesaikan masalah

Adalah diharapkan Menteri Janganlah buat polisi setakat political exercise sahaja, tanpa mngambil kira keperluan dan  kepentingan Nelayan

  1. Kemudian Menteri juga menjanjikan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan untuk nelayan  tempatan. Ini merupakan satu usaha yang baik untuk membantu nelayan kerana  golongan ini rata-rata merupakan golongan yang  miskin. Akan tetapi setakat ini daripada yang sudah mendaftar, hanya 20% sahaja sudah yang menerima RM 200 sebulan ini secara konsisten sejak bulan Ogos. Apa sudah jadi dengan yang lain-lain yang mendaftar dan juga sudah mempunyai kad nelayan?

Tan Sri Yang di Pertua,

6.Bukan itu sahaja rungutan mereka. Nelayan di wajibkan membeli tong ikan khas yang insulated yang ada lambing LKIM dengan harga  RM100 lebih mahal dari harga diluar, untuk spesifikasi yang sama. Dan kalau mereka enggan membeli, mereka terpaksa pula menyewa dengan kadar RM30/ tong 100kg. Bukan kah sepatutnya LKIM membantu nelayan, bukan menyusahkan?

Rumusannya, Insentif Tangkapan 10 sen/kilo dan tambahan kuota 4000 liter sebulan ini tidak membantu nelayan secara terus. Birokrasi dan kelemahan pengurusan pihak LKIM menambah kepada permasalahan mereka.

Sudah dijelaskan secara terperinci bagaimana harga diesel bersubsidi menjejaskan pendapatan pihak pengusaha pukat tunda. Bagi pihak mereka saya pohon pihak Kementerian meneliti dan membetulkan keadaan ini sebelum menjejaskan lebih teruk keadaan. Harga diesel bersubsidi wajar diturunkan ke harga RM1.00 seliter serta merta  seperti sebelum kenaikan bulan Jun2008. Harga petrol sudah pun turun ke paras di bawah harga Jun 2008. Maka sekiranya Kerajaan konsisten tentang hal subsidi ini tidak ada sebab kenapa haran diesel bersubsidi tidak boleh kembali keharga asal.

Walaubagaimanapun bantuan RM200 untuk keluarga nelayan wajar diteruskan kerana ini dapat membantu mereka didalam kehidupan seharian mereka. Akan tetapi perlu dipastikan ianya sampai kepada mereka, jangan setakat gimik potitik sahaja.

Terima Kasih Tan Sri Yang di Pertua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *