PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Sinar Harian – 2,000 ikrar mahu selamat Kuantan

20 Jun 2011

KUANTAN – Seramai hampir 2,000 penyokong ‘Save Malaysia’ berkumpul di Taman Gelora, di sini sempena sambutan Hari Bapa, semalam.

Pengerusinya, Tan Bun Teet berkata, ini merupakan perhimpunan terbesar pernah diadakan bagi mengeratkan hubungan antara penyokong selain mengukuhkan lagi pertubuhan itu.

“Selain sambutan Hari Bapa, hari ini (semalam) juga umpama Hari Keluarga buat kami kerana berpeluang menghabiskan masa bersama dengan aktiviti yang dijalankan.

“Kami mula berkumpul di sini seawal jam 7.30 pagi dan acara dimulakan dengan aktiviti senamrobik. Bagi kanak-kanak pula, kami turut menyediakan acara pertandingan mewarna,” katanya.

Katanya lagi, kesempatan berkumpul juga digunakan untuk terus membuat bantahan penubuhan kilang Lynas di Gebeng.

“Apa yang kami lakukan hanya untuk menjaga keselamatan rakyat Pahang. Kami tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan, tetapi cuba untuk menyelamatkan nyawa keluarga kami dan masyarakat,” katanya.

Sepanjang program tersebut berlangsung, penyokong yang datang turut berjalan mengelilingi Taman Gelora sambil melaungkan ‘Save Malaysia, Stop Lynas’ serta membentuk perkataan ‘Lynas’ sebagai tanda bantahan.

Turut kelihatan, origami burung yang dipanggil ‘Dove’ dikeliling beberapa batang pokok sebagai simbolik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya bahan radioaktif.

Sementara itu, seorang penyokong, Nordin Othman, 57, berkata, kehadirannya pada program tersebut atas kesedaran nyawa rakyat Kuantan yang semakin terancam.

“Sebab itulah saya meluangkan masa untuk hadir ke sini bagi menyokong tindakan yang dilakukan pertubuhan tersebut. Bagi saya, jika kita tidak bertindak dari sekarang, saya bimbang perkara yang buruk akan berlaku pada masa akan datang,” katanya yang datang bersama isteri, Ramlah Muhamad, 57.

Bagi Irene Lim, 64, aktiviti yang dianjurkan secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai yang masih belum membuka mata tentang bahaya bahan radioaktif terhadap manusia.

“Selain berseronok bersama keluarga, dalam masa sama kita juga perlu menyedarkan orang ramai. Ini kerana, ramai yang masih leka serta tidak tahu nyawa mereka sebenarnya dalam bahaya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *