PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

The Malaysian Insider – Lynas: AELB mungkin tak lulus lesen praoperasi

June 15, 2011

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) tidak mungkin meluluskan lesen praoperasi bagi loji nadir bumi Lynas Corp Ltd di Pahang jika dokumen strategi pengurusan sisa buangan jangka panjang tidak dikemukakan kepada agensi itu.

Pembinaan loji oksid nadir bumi yang melibatkan kos RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation Australia di Kawasan Perindustrian Gebeng itu mencetuskan kontroversi berikutan dakwaan ia akan melepaskan radiasi yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai.

Keluaran sampingan sisa loji itu yang mengandungi unsur radioaktif “thorium” mencetuskan bantahan orang ramai.

Dipetik Bernama Online, Ketua Pengarah AELB, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan berkata, lesen praoperasi tidak akan diluluskan tanpa strategi pengurusan sisa buangan walaupun sekiranya keputusan panel pakar antarabangsa memihak kepada Lynas.

“Ini kerana dalam mematuhi semua peraturan operasi, syarat-syarat dan langkah-langkah keselamatan adalah keutamaan terpenting AELB apabila meluluskan lesen dan amat penting bagi Lynas mematuhinya,” katanya.

AELB, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkata keputusan panel pakar yang dilantik oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dijangka diumumkan pada 30 Jun.

“Lynas mendakwa ia amat yakin ia telah memenuhi semua syarat. Ia sedang dalam proses menyediakan strategi pengurusan sisa buangan,” katanya selepas menyampaikan ceramah mengenai kesedaran dan pemahaman isu-isu dan aspek teknikal loji itu, di sini hari ini.

Ceramah tengah hari itu dihoskan oleh MIDF Investment Research.

Terdahulu, dalam ceramahnya, Raja Abdul Aziz berkata enam lesen yang dikenali sebagai “pelesenan pelbagai peringkat” perlu diluluskan bagi Lynas untuk beroperasi sepenuhnya. Dua lesen pertama bagi tapak dan pembinaan telah diberikan.

AELB telah diarahkan untuk menangguhkan sebarang pertimbangan untuk meluluskan lesen praoperasi kepada Lynas hinggalah hasil siasatan panel pakar diketahui.

Ditanya apakah kemungkinan risiko yang dihadapi dalam senario terburuk jika loji itu beroperasi, Raja Abdul Aziz berkata dari segi radiologi, tiada risiko, kecuali bagi senario kimia.

Dalam pada itu, semua pihak tidak perlu terus berdebat mengenai isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation sehingga panel pakar selesai mengkaji aspek keselamatan bagi projek itu, akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan tidak perlu lagi untuk membincangkan isu tersebut secara panjang lebar kerana mereka “bukannya pakar.

“Sebab itu kita panggil pakar yang dilantik Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya kerajaan boleh membuat keputusan yang tepat (berhubung projek berkenaan). Apapun nasihat yang diberikan oleh IAEA ini akan kita terima. Sekiranya projek ini benar-benar membahayakan rakyat sudah tentu kita yang ke hadapan sekali untuk membatalkan projek ini.

“Sekiranya IAEA menyatakan secara jelas dan terang bahawa projek ini tidak langsung menjejaskan kesihatan, maka saya rasa setiap seorang daripada kita terpaksa menerima kenyataan ini dan melakukan yang sebaiknya,” katanya dipetik Bernama Online.

Mukhriz yang menggulung perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2011 sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai projek itu sehingga laporan kajian keselamatan tersebut diperoleh.

IAEA telah melantik sepasukan lapan pakar yang diketuai Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Kitaran Bahan Api Nuklear di Jabatan Tenaga Nuklear IAEA, Dr Tero Varjoranta dari Finland untuk menjalankan kajian semula aspek keselamatan dan kesihatan loji pemprosesan loji Lynas yang melawat tapak itu mulai 29 Mei hingga 3 Jun lalu.

Laporan dan hasil kajian akan diserahkan kepada kerajaan pada 30 Jun ini.

Isu Lynas mendominasi sesi perbahasan rang undang-undang itu sehingga menjurus berlakunya perang mulut antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) ketika membahaskan isu itu mendakwa proses membuat keputusan berhubung projek itu “songsang” kerana lesen untuk pembinaan loji tersebut dikeluarkan sebelum konsultasi awam dilakukan dengan para penduduk kawasan berkenaan.

“Kilang sudah hampir siap, selepas kita buat tekanan begini, baru hendak panggil panel, hendak bincang dengan masyarakat awam. Seharusnya ditanya dari awal lagi…ini yang saya kata cara membuat keputusan ini songsang,” katanya.

Beliau juga bertalu-talu membantah projek loji itu yang dikhuatiri akan menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan awam selain penilaian impak alam sekitar bagi projek bernilai RM700 juta itu yang disifatkan boleh dipertikaikan.

Ekoran itu beberapa kali berlaku perang mulut antara Fuziah dan Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) termasuk ketika Ahli Parlimen pembangkang itu mempertikaikan kredibiliti pakar yang dilantik IAEA kerana mendakwa panel tersebut tidak mengandungi pakar kesihatan awam.

“Inilah dia, semua orang dia tidak percaya, sampai besipun dia tidak percaya, dia mahu percaya apa dia cakap sahaja,” kata Abdul Rahman yang menyebabkan Fuziah bangkit membantah dan meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *