PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Henti raih simpati, tumpu perjuangan parti

SHAH ALAM – Penyelaras Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim diminta berhenti meraih simpati luar dengan membuka kelemahan parti sebaliknya perlu menumpukan kepada perjuangan dan dasar parti yang diperjuangkan selama ini.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Fuziah Salleh berkata, Zaid perlu bertindak sebagai seorang pemimpin sekiranya menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dengan alasan yang kukuh. “Sekiranya beliau yakin dan menawarkan diri atas sebab-sebab kukuh serta dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada parti, beliau sepatutnya mengambil pendekatan sebagai seorang pemimpin nombor dua. “Jangan buang masa dengan meraih simpati luar, ia bukan tindakan pemimpin yang berhasrat untuk jadi orang nombor dua dalam parti,” katanya, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan memberitahu, Zaid perlu berjumpa pemimpin-pemimpin akar umbi dan mengenali ahli-ahli parti PKR supaya mereka boleh mendengar hasrat dan manifesto yang beliau mahukan dari parti “Jika beliau percaya diri beliau layak, kenal dulu ahli, berjumpa dengan mereka supaya dasar yang hendak dibawa itu dapat dijelaskan dan difahami oleh mereka. “Pemilihan PKR kali ini adalah hal dalaman dan umpama pertandingan persahabatan. Jika beliau mahu meraih kejayaan, ia harus dimulakan dari dalam parti dengan menunjukkan tingkah laku sebagai seorang pemimpin,” katanya.

Fuziah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan yang akan diambil oleh PKR berhubung kenyataan Zaid yang seolah-olah memburukkan dan menunjukkan dirinya berada pada kedudukan tidak selamat dalam parti itu. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, mana-mana pihak berhak mengeluarkan kenyataan akhbar asalkan ia munasabah dan tidak menjejaskan imej parti secara serius. “Jika kenyataan yang dikeluarkan itu menjejaskan imej parti, barulah tindakan tegas akan diambil.

Bagi saya, setakat ini kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Zaid Ibrahim belum sampai ke tahap serius lagi. “Sehubungan itu, saya tidak risau kesan yang akan berlaku ke atas mana-mana calon yang bertanding kerana apa yang penting ialah meraikan amalan demokrasi dalam parti itu sendiri,” katanya.

Sivarasa memberitahu, rasa tidak selesa dengan sesetengah pihak yang lain bukanlah satu isu di dalam sesebuah parti politik dan ia adalah satu perkara yang normal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *