Fuziah yakin menang Naib Presiden PKR

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yakin mempunyai peluang cerah untuk memenangi salah satu daripada jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipertandingkan.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan berkata, Wanit:a PKR sudah bersedia dan komited memegang tanggungjawab yang lebih besar dalam parti untuk memperjuangkan hak rakyat.

:“Semua orang bertanding untuk menang. Saya yakin dengan segala keutamaan kepada parti, saya yakin menang kerana anggota kenal dan tahu khidmat saya.

:“Malahan, wanita PKR sentiasa bersedia dan telah menyiapkan diri lebih daripada 10 tahun untuk merebut peluang ini,” kata Pengarah Pilihan raya PKR itu.

Fuziah berkata, beliau akan memikul tanggungjawab mewakili sayap wanita dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi parti itu.

“Sokongan wanita PKR amat padu dengan hanya menamakan saya untuk bertanding jawatan Naib Presiden ini.

“Sokongan sebulat suara ini dilakukan bagi merealisasikan cita-cita wanita PKR selama ini dan mengelakkan undi pecah,” katanya.

Fuziah yang juga bekas Ketua Wanita PKR adalah wanita pertama yang bertanding merebut kerusi Naib Presiden PKR itu juga akan bertanding jawatan Ketua Cabang Kuantan pada pemilihan tersebut.

Sementara itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, wanita parti itu sebulat suara mencalonkan Fuziah Salleh mewakili sayap parti untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Katanya, enam lagi pemimpin wanita akan bertanding merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan 40 orang lagi akan bertanding bagi jawatan tertinggi peringkat cabang.

“Mereka yang akan bertanding jawatan MPP ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, Felicia Ling, Hasnah Hashim, Salma Ismail, Siti Aishah Shaik Ismail dan Rozaini Mohd Rosli. “Manakala bagi jawatan di peringkat cabang, 10 orang wanita termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan bertanding jawatan ketua cabang, manakala selebihnya lagi akan bertanding jawatan timbalan dan naib ketua cabang,” katanya.

Zuraidah yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.

sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *