Terus berjuang tumbangkan BN

HULU SELANGOR, 26 April: Pengarah Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Fuziah Salleh (gambar) menyeru seluruh penyokong Pakatan Rakyat (PR) agar berjiwa kental untuk meneruskan perjuangan menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) dan menerima kekalahan kali ini.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam satu himpunan ringkas di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, malam tadi selepas mengetahui keputusan pilihanraya kecil berkenaan berpihak kepada BN.

“Kalau sekiranya sekali kita menang, maka kita akan ingat kita akan menang untuk yang seterusnya, kita silap. Adakah saudara fikir kita akan berada di sini tanpa melalui kesusahan, kepayahan?

“Tanpa melalui  semua itu, kita tidak akan kuat untuk berada di sini dan meneruskan perjuangan kita. Sekali kita kalah tidak bermaksud kalah selamanya.

“Maka kentalkanlah jiwa kita. Adakah saudara akan kecewa kerana kita kalah sekali pada hari ini?” soalnya dan disambut laungan ‘tidak’ dari kira-kira 300 penyokong PR yang hadir.

Sambil mengakui sedih dan kecewa dengan kekalahan itu, beliau bagaimanapun menyifatkan ianya bersifat sementara dan menyeru para penyokong PR agar berpegang kepada prinsip berjuang secara bermaruah.

“Memang sedih dan kecewa (dengan kekalahan). Itu perkara biasa tapi kita terus berpegang kepada prinsip kita berjuang secara bermaruah.

“Perjuangan kita ini demi masa depan anak kita dan negara kita. Sedih sehari dua tapi kita akan terus bangkit untuk lawan tetap lawan,” katanya disambut laungan ‘lawan tetap lawan’.

Ahli Parlimen Kuantan dari PKR itu turut menegaskan, PR tidak akan sesekali mengikut jejak langkah Umno/BN yang sanggup melakukan taktik kotor untuk memenangi mana-mana pilihanraya.

“Perjuangan ini adalah berasaskan sesuatu yang kental. Bukan boleh hancur dengan kekalahan begini. Sekiranya BN terdesak  dan boleh buat apa sahaja, adakah kita akan buat perkara yang sama?

“Tentu tidak. Kita akan berpegang kepada prrinsip kita untuk menegakkan keadilan,” tegasnya.

Katanya juga, PR akan meneruskan perjuangan melawan Bn di Sibu dan akan memberikan sumbangan semaksima mungkin untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR.

“Kita akan beritahu kepada BN bahawa kita tidak akan menyerah kalah.Kita lawan pula di Sibu, tengok di sana pula bagaimana. Kita akan beri sumbangan yang terbaik di Sibu.

“kalah menang itu adat pertandingan. Kalau kita selalu menang, mungkin kita akan lupa langit itu tinggi,” katany penuh semangat dan sekali lagi disambut tepukan gemuruh oleh penyokong.

Himpunan tersebut dihadiri ramai pimpinan PR, termasuk calon PKR Datuk Zaid Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Penasihat  DAP Lim Kit Siang, dua naib presiden PKR, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah, ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Samsul Iskandar Mat Akin.

Pada pilihan raya kecil semalam, Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili Pakatan Rakyat daripada PKR mendapat 23,272 undi sementara calon MIC (BN), P Kamalanathan memperoleh 24,997 undi.

sumber: Harakahdaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *