PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Aidilfitri 1436 H / 2015

image

image

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Marilah kita sama-sama bertahmid dan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt di atas kemenangan yang dianugerahkan kepada kita untuk menyempurnakan ibadah puasa tahun ini. Kemenangan ini amat bermakna jika kita berjaya melaksanakan tranformasi diri ke arah menjadi insan yang terdidik yang sentiasa berakhlak kepada Allah dan manusia di mana sahaja kita berada.

Ibadah puasa merupakan satu perjalanan spiritual bagi mentarbiyyah rohani dan juga menguji fizikal. Moga Ramadhan yang telah dilalui, akan menjadikan kita individu yang sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak untuk mencorak sebuah kehidupan bagi generasi masa hadapan.

Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemenangan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan insan-insan yang tidak berkemampuan dan saudara-saudara Islam kita yang terjebak dalam krisis dan peperangan yang mengorbankan jiwa dan nyawa. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang aman di bumi yang bertuah ini. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 12:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Bertolak dari sini, sewajarnya Syawal yang menjelang ini membawa makna yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada kita yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga di samping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan.

Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita terus menyemarakkan tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluasnya dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke rumah masing-masing.

Akhir kata, saya dengan rasa rendahan hati bagi pihak diri, suami, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Saya mendoakan agar warga yang pulang ke kampung untuk berhari raya selamat dalam perjalanan menuju ke distinasi masing-masing dan selamat kembali bertugas semula nanti. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hajah Fuziah Salleh

Ahli Parlimen Kuantan | P083

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *