PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Manifesto Calon P083 Kuantan,Hajjah Fuziah Salleh

Fuziah-A4FlyerSetelah berkhidmat turun padang tanpa henti  selama lima tahun selaku Ahli Parlimen Kuantan (2008-2013), saya cukup prihatin dalam memahami masalah rakyat.

Manifesto  ini ialah tawaran sebagai penyelesaian kepada isu-isu yang selama ini memang telah di perjuangkan oleh saya khusus untuk warga Kuantan di Parlimen dan juga di luar Dewan Rakyat.  Sekiranya rakyat Kuantan memberikan mandat dan amanah kepada Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Putrajaya saya bertekad untuk melaksanakan perkara-perkara  berikut :

KOMITMEN:

1) Pelaksanaan Pembangunan Lestari Ke arah Kehidupan Lebih Berkualiti.

Kuantan merupakan pusat pelancongan dan juga di antara pengkalan perikanan terbesar di Malaysia. Pakatan Rakyat komited untuk membangunkan Kuantan dengan meningkatkan pelaburan dan menambah tarikan menggalakkan pelancong berkunjung.   Namun segala pembangunan untuk menambah baik ekonomi setempat yang dibawa ke Kuantan haruslah bersifat lestari tanpa kompromi ke atas kualiti kehidupan generasi masa depan mahupun alam sekitar. Oleh itu industri yang mencemarkan seperti Lynas akan ditolak sama sekali.

Kehidupan berkualiti juga dititikberatkan ke atas golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu-ibu tunggal yang membanting kudrat harian untuk membesarkan anak-anak.  Projek ekonomi kecil-kecilan dengan skim mikro kredit akan direncanakan dalam usaha untuk membantu meningkatkan pendapatan bulanan golongan ini.  Prinsip yang saya pegang ialah memberi pancing dan mengajar mereka mengail lebih baik dari memberi mereka ikan setiap hari.

2) Membangunkan Prasarana Lebih Baik Secara Umum dan Dalam Rangka Menyelesaikan Masalah Banjir Secara Khusus.

Ciri-ciri bandar yang santai merupakan anatara tarikan para pesara untuk membeli rumah dan menetap di Kuantan. Ianya juga merupakan daya tarikan pelancong. Ciri-ciri ini akan diambil kira dalam usaha membangunkan dan meningkatkan kemudahan asas di Kuantan.

Disebabkan kedudukan  Bandar Kuantan yang rendah, di mana  kedapatan air bawah tanah dalam kadar satu meter dari muka bumi,  bersekali  dengan sistem perparitan yang tidak teratur, Bandar Kuantan kerapkali berhadapan dengan banjir sewaktu musim tengkujuh.   Pakatan Rakyat komited untuk mengkaji punca keadaan tersebut, seterusnya  menyelesaikan masalah banjir di Kuantan secara komprehensif dan bukan secara tempelan seperti sekarang ini.

3) Mensasarkan  Setinggan Sifar dan Mewujudkan Rumah Mampu Milik buat Semua Warga Kuantan.

Walaupun Kuantan merupakan ibu negeri  Pahang, namun  kewujudan setinggan bandar merupakan sesuatu yang gagal ditangani selama ini.  Rumah mampu milik buat semua peringkat pendapatan amat berkurangan bersekali dengan banyaknya projek perumahan terbengkalai yang  tidak dapat dipulihkan. Antaranya ialah projek perumahan Bunut Rendang, khusus untuk para nelayan yang telah lebih 10 tahun terbengkalai dan kini penuh semak samun.  Begitu juga 832 unit rumah pangsa  di  Pak Mahat  yang sudah tebengkalai sejak 2006 lagi dan ketika ini baru mula boleh diduduki setelah mendapat bantuan dana tambahan sebanyak RM 7 juta.

Setiap rakyat berhak  menikmati kehidupan dalam persekitaran yang selesa dan sihat.  Saya yakin bahawa kawasan setinggan bukanlah merupakan kawasan yang sesuai untuk membesarkan anak-anak.  Dengan itu pakatan Rakyat komited untuk menangani aspek perumahan ini dalam rangka mengangkat kualiti kehidupan seluruh warga Kuantan dari pelbagai latar belakang.

4) Sistem Pengangkutan Awam  yang “Integrated” (Bersepadu)

Kuantan selaku ibu negeri  merupakan satu-satunya  tempat yang tidak mampu menyelesaikan sistem bas bandar dari 2006 sehingga penghujung tahun 2012.  Namun kini walau terdapat bas RAPID, ada banyak lagi keluhan  berkenaan masalah yang berkaitan.  Ini adalah kerana gagalnya pihak kerajaan sekarang untuk menampilkan satu sistem pengangkutan awam yang  “integrated” atau bersepadu.

Wawasan saya ialah ke arah mewujudkan satu sistem pengangkutan aliran ringan di atas jalan sedia ada, bas, dan teksi yang bersepadu di antara satu sama lain yang dapat menguntungkan rakyat pengguna disamping membawa keuntungan kepada pemberi servis.  Sistem pengangkutan awam yang berjaya juga kelak akan dapat mengurangkan kesesakan jalanraya dari kenderaan persendirian seperti yang berlaku sekarang ini.

5) Membina  Komuniti Selamat dan Pencegahan Jenayah Sosial

Sebagai seorang ibu saya amat prihatin dan menitikberatkan pembentukan persekitaran sosial di mana anak-anak kita akan membesar dan meneruskan kehidupan mereka.  Justeru itu membangunkan komuniti yang makmur dan selamat buat semua warga, tak kira muda atau tua, lelaki atau wanita, merupakan di antara prioriti saya.

Komuniti yang sihat melibatkan penambahan tapak rekreasi, taman mini hijau untuk santai atau beriadhah, lorong basikal dan pejalan kaki merupakan wawasan saya.  Begitu juga tempat anak-anak muda beriadhah dan bersukan lasak seperti “skateboard” bersekali  dengan persekitaran yang sihat di tengah bandar. Dengan ini akan menjadikan  Kuantan sebuah bandar yang  lebih aman, menarik, sihat dan sejuk buat penghuni dan pengunjung.

Program-program membina komuniti  harus berjalan seiring dan diberi keutamaan yang  sama  dengan program mencegah jenayah serta aktiviti tidak sihat.  Aktiviti tidak sihat yang merosakkan generasi masa depan seperti judi internet harus dibanteras habis-habisan.  Gejala sosial juga harus ditangani secara komprehensif.

IMPLIMENTASI :

Komitmen saya ialah untuk menggarap semua elemen positif di dalam masyarakat seperti kelompok “civil society”, badan bukan kerajaan (NGO ) dan badan-badan agama untuk berganding bahu dengan kerajaan demi menjayakan wawasan di atas.  Akan diwujudkan komunikasi dua hala untuk menerima pandangan orang ramai dan konsultasi awam akan menjadi amalan  di dalam proses pelaksanaan semua tawaran di atas.

Insya Allah wawasan, harapan dan tawaran ini dapat menjadi  realiti apabila Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Fuziah-A4Flyer

Fuziah-A4Flyer

Sekian saya sertakan link video Manifesto calon P083 Kuantan,Hajjah Fuziah Salleh. Terima Kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *