PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Wanita Tunggak Negara, Dibela Pakatan Rakyat

Pelancaran Video Kempen Wanita ‘TanganMu’ di Tropicana, Petaling Jaya

11 April 2013

Oleh Presiden KEADILAN

Wanita merupakan salah satu tunggak kepada pembangunan negara. Setiap kemajuan, dan pembangunan bermula di rumah. Contohnya Saya, sebagai seorang wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab. Saya seorang anak, kakak, isteri, dan ibu. Sebagai seorang wanita yang bekerjaya, saya memikul tanggungjawab di pejabat. Semuanya tanggungjawab berat.

Begitu dengan semua kaum wanita di Malaysia. Yang menjadi suri rumah mempunyai tugas yang pelbagai dan mencabar. Lebih-lebih lagi wanita yang bekerja untuk mengimbangi kerjaya dan keluarga. Ini menjadi persoalan yang berterusan. Saya percaya, setiap wanita harus dihargai pengorbanan dan jasa.

Akan tetapi, kos sara hidup semakin meningkat. Gaji pendapatan semakin tidak mencukupi. Jenayah keganasan terhadap wanita juga kian menjadi-jadi.

Sebagai sebuah negara yang membangun, keadilan dan kesaksamaan diimpikan. Sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, pembelaan hak-hak rakyat dipertahankan. Oleh itu, kita mahu suara wanita didengari dan dipeduli.

Pakatan Rakyat menyedari keadaan ini. Dasar Keberdayaan Wanita untuk memenuhi sasaran nasional 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pengurusan, kepimpinan dan pentadbiran sektor awam dan swasta menjelang tahun 2017 telahpun dinyatakan dalam Manifesto Pakatan 2013. Malaysia mempunyai jumlah pekerja wanita tertinggi di rantau Asia Tenggara akan tetapi pada masa yang sama, Malaysia juga berada dalam kedudukan terendah dalam penglibatan wanita di peringkat pengurusan.

Pengorbanan wanita tidak hilang dari perhatian Manifesto Pakatan. Manifesto Pakatan yang mewajibkan para suami mencarum mengikut kadar pendapatan (antara RM10 sebulan hingga RM100 sebulan) ke dalam satu Caruman Wanita Malaysia atau Tabung Simpanan Suri Rumah yang boleh dikeluarkan oleh para isteri dalam keadaan tertentu seperti penceraian, ditimpa musibah, kemalangan dan genap mencapai umur 50 tahun. Pihak kerajaan juga akan menyumbang RM50 sebulan atau RM600 setahun bagi setiap isteri dan caruman tersebut akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO).

Saya sedar yang Pakatan Rakyat mengambil perhatian yang serius dalam hal penjagaan hak-hak wanita untuk memantapkan institusi kekeluargaan dalam manifestonya. Sebagai seorang ibu, saya hanya mahukan apa yang terbaik untuk anak-anak saya. Hati saya menangis setiap kali saya membaca berita mengenai anak-anak yang terabai kerana kaum ibu dan pasangan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyediakan makanan untuk anak-anak mereka. Hati saya juga menangis apabila saya membaca berita anak-anak didera semasa ditinggalkan kepada pengasuh.

Oleh itu, saya bersetuju dengan insentif penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah sepertimana saya bersetuju dengan penubuhan Agensi Pembantu Rumah Tempatan oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun jumlah RM1,000 setahun mungkin berbunyi sedikit, akan tetapi sebagai seorang ibu, setiap sen dikira dalam membesarkan anaknya. Ianya mungkin bantuan yang kecil, akan tetapi ianya tetap suatu bantuan yang boleh meringankan beban seorang kita.

Begitu juga dengan penubuhan Agensi Pembantu Rumah Tempatan. Sebagai sebuah negara yang membangun, seharusnya kita yakin dengan kebolehan rakyat kita sendiri untuk membawa negara tercinta ini kepada peringkat yang lebih tinggi. Penubuhan  Agensi Pembantu Rumah Tempatan ini memberi peluang kepada kita untuk meraikan kebolehan wanita kita sendiri dalam mengasuh anak-anak tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar.

Sebagai seorang wanita Malaysia, saya percaya dengan kecekalan, kepintaran, kebijaksanan, dan usaha tanpa henti kaum wanita Malaysia dalam pembangunan negara tercinta ini. Saya percaya dalam keadilan dan kesaksamaan. Saya percaya wanita harus dihargai sepertimana kita menghargai jasa kaum lelaki membina negara ini. Saya juga percaya Pakatan Rakyat akan mengangkat hak-hak wanita seiring dengan usaha kita membina Malaysia yang lebih baik.

 

Terbukti bahawa kaum wanita di Malaysia punya kebolehan dalam pelbagai bidang. Melalui Pakatan Rakyat, lebih banyak peluang dan ruang dibuka kepada kaum wanita. Marilah kita berikan kepercayaan dan harapan kepada Pakatan Rakyat untuk merealisasikan program ini.

Dengan sukacita saya melancarkan video Kempen Wanita Parti Keadilan.

Video boleh ditonton di MediaRakyat.net:  http://www.youtube.com/watch?v=we7srrxFwOE

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *