Fuziah mahu terus juang isu Lynas

SINAR HARIAN
RUZY ADILA IDRIS
4 Disember 2012
Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, semangat beliau dan penduduk setempat tidak luntur untuk terus menentang projek Lynas walaupun operasi loji pemprosesan di Gebeng, yang tertangguh, dilaporkan sudah bermula baru-baru ini.

Fuziah berkata, beliau telah menyuarakan isu ini sejak 2008 secara bersendirian sehinggalah wujud kesedaran di kalangan rakyat.

“Apa yang belum kita buat? Ke mahkamah sudah, buat semakan kehakiman sudah… jalan kaki, naik basikal, panjang bukit hingga hantar memorandum pun sudah dibuat.

“Tetapi rintihan itu semua ibarat jatuh ke ‘telinga yang pekak dan tuli’. Kerajaan tidak respons kepada suara rakyat,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Minggu lalu, Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis berkata, permulaan operasi itu sedang berjalan di loji Lynas Advanced Materials Plant.

Operasi itu bermula susulan siri bantahan, kajian kendalian pihak kerajaan, demonstrasi dan prosiding mahkamah, yang bermula sejak tahun lalu.

Katanya, melalui jualan komersial dan pengeluaran hasil akan dapat dijalankan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Mengulas perkara berkaitan, Fuziah yang juga Naib Presiden PKR turut meluahkan kekesalannya kerana isu lebih besar tidak diberi penerangan yang konkrit terutamanya berkaitan pengurusan sisa buangan radioaktif yang lebih konkrit.

“Kesan radioaktif yang sebenarnya akan mencemarkan alam sekitar dan ekosistem, sebaliknya isu itu sengaja ditutup.

“Sebaliknya isu radiasi pula yang diperbesarkan.

Sama ada saya ataupun rakyat Kuantan tidak pernah menolak pembangunan tetapi banyak lagi pelaburan yang boleh dibuat,” dakwanya lagi.

Beliau menambah, apabila membicarakan mengenai isu alam, bukan keuntungan yang menjadi matlamat sebaliknya, “dunia yang bagaimana yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita nanti?”

Katanya lagi, “biarlah rakyat sendiri yang buat keputusan selepas ini pada pilihan raya.”

http://www.sinarharian.com.my/nasional/fuziah-mahu-terus-juang-isu-lynas-1.109583

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *