MP temu SPR, Pakatan syor panel khas semak data pemilih

Sinar Harian
Nasional
JAMILAH HAMZAH
20 November 2012

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui terdapat kesilapan dalam daftar pemilih seperti yang didedahkan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan selama ini pada satu pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen semalam.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, kesilapan yang dilakukan oleh SPR tidak sepatutnya berlaku walaupun agensi tersebut mengakui ia sebagai kesilapan manusia.

Menurutnya,  SPR telah mengakui dan mengesahkan sebanyak 282,000 pendaftar yang mempunyai masalah termasuk tarikh memohon sebelum lahir dan sebagainya seperti yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Katanya, SPR juga akan memberi komitmen dalam masalah daftar pemilih berkaitan tarikh yang dipohon sebelum pilihan raya.

“SPR mengakui memang mereka melakukan kesilapan dalam daftar pemilih terutama dalam senarai nama di bawah 21 tahun yang didaftarkan.

“Perkara seperti itu tak perlu dilakukan dan ini menunjukkan SPR tidak cekap,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mohamed Nazri Aziz meminta Ahli Parlimen PR menghadirkan diri untuk mendengar sendiri taklimat daripada SPR bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menyatakan SPR tidak mempunyai kecekapan dan perlu mempunyai kredibiliti dalam menjalankan tanggungjawab.

Beliau berkata, badan pertubuhan khas perlu diwujudkan untuk menyemak dan menjaga data-data dalam SPR dan pelantikannya bukan dipilih daripada ahli-ahli Parlimen atau kerajaan.

“SPR perlu baiki kelemahan sebelum PRU, dan mewujudkan badan khas untuk menjaga dan menyemak data dengan baik seperti di negara India tanpa melibatkan sesiapa yang berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata,    kesilapan data daftar pemilih yang dilakukan SPR disebabkan kegagalannya menyemak semula status mereka.

Tambahnya, “SPR akui setelah PR membangkitkan fakta itu dan membuat aduan, baru mereka (SPR) membuat semakan dan akan membetulkannya.”

Ketua Pemuda Sosialis DAP ini berkata, dalam perjumpaan itu, PR juga meminta supaya SPR mengkaji semula undi daripada rakyat yang bermastautin di luar negara, dan pengundi yang bekerja sebagai tentera tidak lagi mengundi secara pos.

Dalam perjumpaan itu yang diadakan bangunan Parlimen, seramai 40 hingga 50 ahli Parlimen telah mengambil bahagian.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/mp-temu-spr-pakatan-syor-panel-khas-semak-data-pemilih-1.105184

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *