PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Sistem pengundian awal mudah dimanipulasi SPR – Fuziah

(Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 8 Nov: Pelaksanaan sistem pengundian awal yang menggantikan sistem undi polis, tidak kemas dan mudah dimanipulasi untuk memenangkan Umno BN, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, ia berikutan pengundian awal sepatutnya dibuat sehari sebelum hari mengundi, bukan tiga hari seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pasangan (pengundi awal seperti tentera dan polis) juga automatik undi awal, walaupun mereka tidak perlu buat demikian.

“Kita juga tidak dibenarkan lekatkan ‘seal’ (penanda) pada peti undi. Ini menyusahkan kita untuk jaga (peti undi) selama tiga hari sebelum dikira.

“Pengumuman terbaru SPR mengatakan kertas undi tidak lagi ditebuk (khas) sebagai tanda ia asli, sebaliknya guna rubber stamp. Sesiapa pun boleh (tiru),” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Mengikut laporan Bernama 14 Mac lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memperkenal sistem undi awal menggantikan undi pos bermula Pilihan Raya umum (PRU) ke-13. Ia bermakna, semua 242,294 pengundi pos dengan automatik menjadi pengundi awal.

Pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini, Fuziah berkata, SPR bukan sahaja tidak menambah baik proses pilihan raya, malah menambah lagi kesulitan dan memudahkan penipuan.

“Isu pengundian awal penting dan tidak harus dibiar sebegini. Ia antara isu yang tidak dipandang serius oleh SPR untuk menjamin pilihan raya yang adil dan bersih,” katanya.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Tian Chua mengecam SPR kerana tidak pernah memberi jawapan wajar tentang isu yang dibangkitkan.

“Yang ada hanyalah had bendera (ketika berkempen) dan had kehadiran semasa penamaan calon. Semua ini tiada kaitan,” katanya.

Beliau tidak menolak rakyat akan bangkit untuk meneruskan tuntutan pilihan raya adil dan bersih jika SPR enggan membaiki sistem sedia ada.

“Harapan rakyat pada PRU 13 sangat tinggi. Kerajaan tidak mampu lagi untuk kecewakan rakyat,” katanya.

Pada 5 November lalu, Himpunan Kebangkitan Rakyat dilancar di Seremban untuk meneruskan tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Ia akan disusuli dengan siri program seluruh negara sebelum kemuncaknya di Stadium Nasional Bukit Jalil 12 Januari ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *