Mahkamah tolak rayuan Stop Lynas Coalition mengenai isu TOL

The Malaysian Insider
Oleh Nomy Nozwir
September 10, 2012

 

Pengerusi Stop Lynas Coalition Andansura Rabu (tengah) berkata keputusan ini amat mengecewakan. — Gambar oleh Siow Feng Saw

PUTRAJAYA, 10 Sept — Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dari Stop Lynas Coalition tentang pemberian lesen pengoperasian sementara (TOL) dari Badan Perlesenan Tenaga Atom (AELB) kepada Lynas Corporation. 

Hakim Datuk Ramly Ali selaku pengerusi, bersama Hakim Datuk Wahab Patail dan Hakim Datuk K. Anantham, telah membuat keputusan itu di mahkamah rayuan di Putrajaya, hari ini.

Stop Lynas Coalition bagaimanapun mempunyai satu lagi jalan iaitu membawa kes ini kes mahkamah persekutuan.

“Keputusan ini amat mengecewakan, namun kita akan terus melawan untuk penduduk Kuantan,” kata pengerusi Stop Lynas Coalition Andansura Rabu.

“Kita akan meneruskan perjuangan kita di mahkamah bagi menghalang Lynas.

“Kita akan saman semua agensi kerajaan yang terlibat kerana tidak mengikut prosedur,” menurut penasihat kepada Stop Lynas Corporation yang juga bekas pengerusi kepada “No To Incinerator Broga” Zulkifli Mohd Omar.

Sementara itu, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh melahirkan rasa terkejut dengan keputusan mahkamah yang tidak mengambil kira keselamatan penduduk Kuantan.

“Kita ada 600,000 orang di Kuantan. Saya masih terkejut dengan keputusan ini. Kerana kes ini melibatkan alam sekitar, dan tidak ada butiran terperinci dari Agensi Pemantauan Alam Sekitar (EIA).

“Hujah yang digunakan oleh kami ialah tiada butiran akhir dari EIA seperti prosedur industri-industri yang lain.

“Keputusan AELB (memberi TOL kepada Lynas) seolah-olah tidak menghormati mahkamah tinggi Kuantan sebab mengeluarkan TOL sebelum mahkamah mengadakan sesi pendengaran kes,” kata Fuziah lagi.

Pada 8 September tahun lalu, Lynas telah diberikan TOL dengan syarat yang ketat, antaranya syarikat perlombongan Australia itu sendiri yang akan membuang sisa berbahaya nadir bumi itu, kata AELB dalam kenyataan media yang dihantar kepada The Malaysian Insider, hari ini.

“Pada 30 Januari tahun ini, kami telah meluluskan TOL kepada Lynas dengan tertakluk beberapa syarat.

“Lynas telah mengemukakan dua surat akujanji, satu dari Lynas Australia, yang berjanji akan membawa sisa merbahaya itu keluar, dan satu lagi dari Lynas Malaysia Sdn Bhd, turut mengesahkan perkara yang sama.

“Komitmen mereka juga diumumkan dalam kenyataan media dan sidang media mereka, pada 27, 29 dan 30 Ogos tahun ini, dan dilaporkan secara meluas di kedua-dua negara Malaysia dan Australia,” menurut kenyataan media AELB tersebut.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mahkamah-tolak-rayuan-stop-lynas-coalition-mengenai-isu-tol

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *