Fuziah: Permohonan maaf tak gugat penolakan Lynas

(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 19 Julai: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, kumpulan anti Lynas sama sekali tidak terkesan berhubung permohonan maaf oleh portal Free Malaysia Today (FMT) kepada syarikat daripada Australia itu.

Tegas beliau, walau apapun berlaku, kumpulan tersebut berpendirian untuk tidak menyokong projek loji nuklear di Gebeng Kuantan itu.

“Kumpulan anti Lynas tidak takut dengan permohonan maaf FMT kerana kita ada golongan profesional yang mempunyai alasan kukuh untuk menolak Lynas.

“Memang mereka tidak mahu Lynas beroperasi di kawasan kediaman mereka,” kata Fuziah ketika dihubungi.

Tambah Fuziah, FMT bertindak demikian bagi mengelakkan kos guaman dan pembaziran masa melalui perbicaraan di mahkamah.

“FMT tidak mahu meneruskannya kerana mungkin sebagai media, mereka tidak mahu masa terbuang dengan kes mahkamah.

“Mereka juga sebagai pelapor, bukannya penduduk dan penyokong kumpulan anti Lynas. Jadi mereka mengambil keputusan untuk memohon maaf sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai kerajaan yang meluluskan Lesen Menduduki Sementara (TOL), sedangkan operasi loji Lynas belum mendapat kelulusan.

“TOL sudah diluluskan, AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom) juga kata selamat, PSC (Jawatankuasa Khas Parlimen) kata selamat, semua itu hanya bayang-bayang mereka berdepan Lynas.

“Kalau betul selamat, kenapa tidak mahu teruskan projek Lynas, atau pun tunggu lepas pilihan raya, baru mahu mula operasi,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33050

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *