PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

MCA Sudah Bankrap Idea Isu Lynas

Kenyataan Media
Fuziah Salleh
MP Kuantan
25hb June 2012

Saya merujuk kepada kenyataan Dato Seri Liow Tiong Lai, Dato Ng Fook Heng, Dato Ti Lian Ker dan YB Phang Tzu Ming sewaktu didalam ucapan di mesyuarat agung MCA bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota yang di laporkan didalam beberapa akhbar bahasa Mandarin hari ini.

Nampak gayanya MCA cukup punyai ketakutan yang amat sangat terhadap saya. Sehinggakan ketiadaan saya di Parlimen minggu lepas dijadikan bahan ucapan utama Mesyuarat Agung Tahunan mereka di Indera Mahkota, Paya Besar dan Kuantan. Saya perhatikan seolah-olah isu Lynas dan saya sudah merupakan mimpi ngeri buat MCA. Saya juga perhatikan bahawa pemimpin MCA sanggup menyebar fitnah terhadap saya semata-mata untuk meraih kembali sokongan yang tentunya sudah cukup hilang terhadap MCA.

Saya pergi keluar negara untuk belajar dan bekerja dan bukan untuk bercuti. Lagipun saya belajar tentang strategi pilihanraya.

Ketidak hadiran saya sewaktu perbahasan isu PSC tempoh hari tentu sama sekali tidak menafikan segala usaha saya menentang kehadiran LAMP selama 3 1/2 tahun yang lepas ini. Dan apa pun yang dikatakan oleh MCA tidak boleh menafikan segala usaha tersebut. Rakyat juga cukup memahami bahawa hati saya disebelah rakyat setiap kali isu Lynas saya bangkitkan di Parlimen mahupun di luar Dewan.

Ingin juga saya ingatkan bahawa yang pergi bercuti ke Australia diatas tajaan Lynas dan sekembali mereka ke Malaysia mengatakan bahawa kilang Lynas adalah selamat ialah merupakan dua org ADUN MCA.

Para pemimpin MCA juga tidak langsung bersuara tentang isu Lynas dari 2008 sehinggalah 2011. Mereka membisu sewaktu MITI membawa Lynas ke Malaysia dan ke Pahang pada awal 2008. Mereka juga membisu sewaktu setiap kali saya bangkitkan isu Lynas di Parlimen. Mereka hanya bersuara selepas mereka melihat rakyat menentang Lynas. Mereka bersuara kerana takut kehilangan sokongan rakyat. Maka dengan itu, janganlah mereka cuba untuk menjadi jaguh pula pada ketika ini.

Rakyat lebih mengetahui apa yang mereka inginkan dan apa yang baik untuk rakyat amnya. Pemimpin MCA harus ikhlas berjuang untuk kebaikan dan kesihatan rakyat dan bukan untuk mendapat sokongan semata.

Saya tegaskan disini sekali lagi bahawa LAMP tidak wajar berada di Gebeng dan tidak harus dibenarkan beroperasi. Segala laporan PSC yang telah dibentangkan tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah merupakan helah untuk membenarkan LAMP beroperasi. Rakyat tidak akan tertipu lagi.

Sekian Terima Kasih.
——————
Fuziah Salleh
MP Kuantan, Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *