Harakah Daily – Lynas: PAS sambut baik prosiding terbuka

Hazayani Zakaria
21 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 21 Mac: PAS menyifatkan prosiding kes semakan kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas yang akan diadakan secara terbuka sebagai permulaan yang baik kepada rakyat Kuantan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Dzulkifly Omar berkata, prosiding terbuka membolehkan semua pihak mendengar penghujahan yang akan dikemukakan.

“Kita menerima baik keputusna ini dan ini peluang baik apabila akan didengar di open court kerana semua orang boleh mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan rakyat boleh menilainya,” kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini menerima semakan kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas di Gebeng, Kuantan.

Menurut peguam yang mewakili plaintif iaitu 10 penduduk Kuantan, K Shanmuga, kes akan didengar secara terbuka pada 4 April depan.

Hakim, Datuk Rohana Yusuf juga telah mengarahkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memfailkan afidavit bagi menjelaskan mengenai kelulusan lesen TOL yang diberikan kepada Lynas.

Februari lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.

Semakan kehakiman tersebut bagaimanapun ditolak pada 28 Februari lalu dan difailkan semula semalam.

Dzulkifly yang juga Pengerusi Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) sekali lagi mengulangi bahawa isu Lynas bukan hanya isu kaum Cina seperti yang didakwa BN namun merupakan isu semua kaum.

Ini katanya dapat dilihat dengan kehadiran penduduk Kuantan yang hadir ke mahkamah menyatakan sokongan.

“Semalam yang hadir dari Kuantan sebuah bas dan 10 buah kereta. Bukan Cina sahaja yang datang, Melayu pun ramai, India pun ada. Isu ini merupakan isu keselamatan semua kaum,” katanya.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8993-lynas-pas-sambut-baik-prosiding-terbuka#.T2nibmErOWo.facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *