PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Bahas Ahli Parlimen Kuantan 20hb Mac 2012 – Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Lynas


PENUBUHAN JAWATANKUASA PILIHAN KHAS LYNAS
BAHAS AHLI PARLIMEN KUANTAN
20hb Mac 2012

Tuan Yang Di Pertua

Terima Kasih kerana memberi laluan kepada saya untuk membahaskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Lynas Advanced Material Plant ini.

Sememangnya Dewan ini telah berkumandang dengan isu Lynas ini semenjak dari November 2008 lagi dan sememangnya orang Kuantan lah yang akan paling terkesan apabila kelak beroperasinya kilang Lynas ini.

Namun, tuan yang di pertua, suara saya mewakili bukan sahaja suara orang Kuantan, akan tetapi suara seluruh rakyat Malaysia yang mahukan pembangunan lestari, yang meletakkan ia sebagai satu asas penting didalam apa sahaja keputusan pembangunan yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Pembangunan lestari, ‘Sustainable Development’ ataupun pembangunan mampan: ialah pembangunan yang memenuhi keperluan semasa serta keperluan masa hadapan bagi mencapai kesinambungan antara pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar demi kesejahteraan bersama tanpa menjejaskan keperluan generasi seterusnya.

Ianya mesti mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pembangunan sosial dan alam sekitar.

Ianya juga dikaitkan dengan kualiti kehidupan yang merangkumi sistem ekonomi, sosial dan persekitaran bagi menjamin keselesaan hidup dan persekitaran yang sihat serta produktif.

Matlamat ini bukan sahaja untuk keperluan generasi masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang. Supaya keputusan pembangunan yang kita buat hari ini tidak membebankan anak cucu kita di masa hadapan nanti.

Tuan yang di Pertua

Isu keselamatan Kilang Lynas ialah isu yang menjadi igauan kebanyakan rakyat Kuantan. Rakyat Kuantan khasnya serta rakyat Malaysia amnya yang mahukan pembangunan lestari, cukup amat tertekan dengan kewujudan kilang ini yang bakal beroperasi kelak. Kilang Lynas atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) sudahpun di luluskan lesen operasi sementara, Temporary Operating License (TOL) buat tempoh 2 tahun. Satu kilang pemprosesan tanah nadir yang terbesar di dunia di luar Negara Cina, yang akan mengawal 30% daripada pasaran tanah nadir di dunia, akan dibenarkan beroperasi tanpa kewujudan sebuah ‘Pilot Plant’.

Saya menggunakan istilah tanah nadir, dimana sebelum ini istilah Bahasa Malaysia buat Rare Earth ini samada digunakan tanah jarang atau nadir bumi. Nadir untuk ‘rare’ atau jarang didapati, dan tanah untuk ‘earth’. Ianya tanah dan bukan bumi. Tuan yang di pertua, Bahasa Malaysia memang tiada istilah untuk rare earth sebelum ini. Menunjukkan bahawa dari segi istilah pun kita tak boleh nak urus isu LAMP ini. Malah peraturan Pengurusan Sisa buangan radioaktif hanya di perkenalkan pada bulan Sept 2011. Pada bulan Jun 2011 pula di tambah kedalam senarai yang memerlukan Detailed EIA satu aktiviti seperti LAMP ini. Ini membuktikan bahawa di tahun 2007 sewaktu Lynas dibawa ke Malaysia, kita sebenarnya tidak tahu menahu tentang industri yang dibawa LAMP ini. Kepakaran jauh sekali.

LAMP yang di urustadbir oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat milik Australia 100% dijangka akan mendapat laba dalam nilai eksport Rare Earth Elements REE berjumlah RM8 billion setahun. Disamping itu ianya hanya akan menawarkan 350 pekerjaan sahaja sambil ianya dianugerahkan status perintis, ‘Strategic Pioneer Status’ dengan pengecualian cukai selama 12 tahun. Belum pun LAMP beroperasi ianya sudah pun menolak pelabur lain dari Kuantan. Satu syarikat hartanah yang menawarkan apartment peranginan mewah di Kuantan iaitu syarikat Gold Coast Resort Kuantan yang akan menawarkan dua kali ganda bilangan pekerjaan berbanding LAMP telah pun menyatakan hasrat untuk menarik diri sekiranya LAMP di benarkan beroperasi di Gebeng. Nilai hartanah di Kuantan juga sudah jatuh dan ramai yang mengatakan bahawa mereka akan berpindah keluar dari Kuantan sekiranya LAMP beroperasi kelak. Kuantan yang dikenali sebagai destinasi pelancungan dan pilihan tempat untuk bersara sudah pasti akan kehilangan tarikan dan kemungkinan Kuantan menjadi bandar mati seperti Bukit Merah tidak boleh di tolak tepi sama sekali

Tuan Yang di Pertua,

Hari demi hari pelbagai pihak telah terus menerus membuat kenyataan bahawa LAMP adalah selamat. Daripada Menteri Besar Pahang sehinggalah kepada Perdana Menteri Malaysia, yang juga dari Pahang. Pelbagai taktik digunakan, dan pelbagai media milik Kerajaan di gunakan didalam usaha untuk menenangkan orang Kuantan. Akan tetapi janji-janji ini bukan menenangkan malah ianya menambah kerisauan orang Kuantan. Tambahan pula apabila ianya di sertai dengan kenyataan yang bercanggah dan kontradiksi dari pelbagai agensi dalam Kerajaan.

Satu ketika Menteri Kesihatan membuat kenyataan akan hantar sisa buangan radioaktif dari LAMP balik ke Australia. Kemudian Director General AELB berkata, mungkin akan di hantar ketapak bekas lombong, mana-mana di Malaysia seperti di Sg Lembing. Kemudian Menteri MITI pulak kata ianya tidak radioaktif. Manakala Lynas pula dengan wewenang mengumumkan akan mengkomersialkan sisa buangan radioaktif mereka. Kepakaran akademia tempatan pula digunakan untuk membuat kajian mencari jalan untuk mengitar sisa radioaktif kepada bahan seperti baja, papan gypsum dan asas binaan untuk dibuat jalan.

Didalam keadaaan, yang jelas bercanggah diantara satu sama lain, pihak berkuasa terus menerus menjamin LAMP selamat. Kita tidak ada kompetensi dan tidak punya kemampuan untuk menjadi regulator kilang pemprosesan tanah nadir terbesar di dunia diluar Negara Cina seperti LAMP dan kita harus terima hakikat ini. Di waktu dunia mengiktiraf bahawa sisa radioaktif mesti di urus dengan cermat dan hormat, kita pula memberikan isyarat bahawa Lynas dibenarkan untuk terlibat didalam amalan menabur sisa radioaktif mereka dimerata tempat.

Tuan Yang DiPertua, penting untuk ditegaskan serta di iktiraf oleh Dewan yang mulia ini bahawa isu keselamatan yang kita bicarakan merupakan isu yang ‘multi faceted’ . Maksudnya isu keselamatan berkaitan LAMP tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja.

‘Hazard ‘ataupun merbahayanya LAMP wajib dilihat dari pelbagai aspek dan pelbagai sudut. Justeru itu menuntut kepakaran yang pelbagai disiplin juga. Setakat ini Lynas mengenengahkan pakar nuclear fizik untuk menyokong hujah bahawa LAMP itu selamat. Pakar nuclear fizik menjamin keselamatan dari aspek radiasi luaran sahaja, tanpa melihat kepada radiasi dalaman ataupun internal emitters. Lynas juga langsung tidak berani untuk berbicara berkenaan keselamatan LAMP dari sudut bagaimana sisa buangan radioaktif seperti thorium dan uranium yang mempunyai jangka separuh hayat 14 bilion tahun akan meninggalkan kesan kepada alam sekitar, mahupun dari sudut public health atau kesihatan awam pun Lynas tidak berani berhujah. Thorium seperti yang kita ketahui ialah sejenis ‘carcinogen’, iaitu ianya boleh menyebabkan cancer. Dimana pakar-pakar kesihatan awam seperti toxicologist serta epidiomologist telah menegaskan bahawa tiada kadar yang selamat buat carcinogen. ‘No safe threshold for carcinogen’. Dengan kehadiran penduduk terdekat hanya dalam jarak 2 km dari LAMP tentu sekali kerajaan yang mendahulukan keperluan rakyat dijangka akan mengambil langkah keselamatan, berjaga-jaga dan mengguna pakai ‘ the precautionary principle’. Ada pihak yang berselindung dengan mengatakan bahawa thorium dan uranium adalah NORM. Normal Occuring Radioactive Material. Akan tetapi Lynas tahu bahawa selepas melalui proses melibatkan asid disuhu yang tinggi. Thorium dan uranium ini sudah jadi TENORM. Tenchnologically Enhanced Normal Occuring Radioactive Material. Malah Lynas mengakui sendiri bahawa sisa mereka merupakan TENORM. Ini dinyatakan didalam laporan RIA, Radiological Impact Assessment Report. 2010. Untuk menambah kononnya selamat ada juga pakar yang mengatakan bahawa NORM ini berada dimana2. Malah di pasir pantai Teluk Cempedak pun ada NORM. Cuma apa yang tidak di beritahu ialah kadar NORM di Pahang ialah dikadar 20ppm. Sedangkan TENORM didalam sisa radioaktif LAMP ialah 1600ppm. Jumlah sisa WLP yg akan dijanakan setahun pula ialah dlm kadar 80,000 tonne setahun.

Exposure Pathway atau laluan untuk dicemari oleh sisa buangan TENORM ini juga adalah pelbagai. Daripada air minuman hinggalah kepada ikan yang mungkin di cemari. Dari gas radon, kepada susu haiwan yang mungkin terdedah kepada sisa dari LAMP ini apabila haiwan tersebut termakan rumput, tumbuhan yang tercemar.

Tuan Yang diPertua, ini kita belum berhujah lagi dari sudut pemrosesan yang akan melibatkan penghasilan sisa dari 3 saluran atau ‘3 waste stream’. Walaupun hasil dari 2 saluran sisa tersebut tidak di klasifikasikan sebagai radioaktif, akan tetapi ianya tetap mengandungi bahan radioaktif. Sisa pepejal WLP Water Leach Purification Solid dari saluran yang ketiga memang terang-terangan melebihi aras 1 Bq/g dan memang di klasifikasikan sebagai sisa buangan radioaktif. Persoalannya, pihak berkuasa ingin menidakkan hal ini dan tetap mengatakan ianya tidak radioaktif dan selamat. Lynas didalam semua dokumen mereka mengatakan bahawa radioactivity bagi WLP ialah 6.2 Bq/g. Bacaan radioactivity ini melepasi paras 1 Bq/g dan di klasifikasikan sebagai sisa radioactive. Di peringkat awal kemasukan Lynas ke Malaysia, mereka cuba mengatakan bahawa sisa buangan LAMP tidak radioaktif dengan menggunakan kayu ukur Negara China. Sekarang Lynas buat kenyataan nak kurangkan radioactivity WLP ketahap 1Bq/g dan kemudian menkomersialkan sisa radioaktif mereka. Yang paling mengecewakan rakyat Kuantan ialah apabila Lynas berbuat demikian, ketika membuat kenyataan yang tidak bertanggung jawab, pihak regulator termasuk para Menteri melindungi mereka dan lebih teruk lagi, apabila menjadi jurucakap Lynas. Setiap kali Lynas membuat kenyataan demikian seluruh rakyat Kuantan berasa begitu tertekan, akan tetapi setiap kali mereka akan di lindungi oleh pihak berkuasa.

Tuan yang di Pertua.

Lynas juga tidak akan berani berhujah mengenai Best Practise atau amalan terpuji didalam pemprosesan tanah nadir ini. Lynas tidak akan bercakap berkenaan syarikat Molycorp yang dahulunya UNOCAL di Mt Pass Califronia yang pernah berlaku kebocoran sisa buangan radioaktif di tahun 90an. Sebanyak 60 kes kebocoran sisa buangan radioaktif yang tidak dilaporkan melibatkan 600,000 US gallons sisa radioaktif tumpah disekitar kilang UNOCAL sehingga UNOCAL di arah tutup pada tahun 1998. Adakah Lynas dan pihak berkuasa tidak tahu atau pura-pura buat tidak tahu? Pada hari ini UNOCAL yang telah bertukar nama menjadi Molycorp ialah saingan Lynas yang terbesar. Masing-masing berlumba untuk beroperasi dahulu. Kerana siapa yang beroperasi dahulu akan mengawal pasaran rare earth di dunia. Akan tetapi Molycorp telah belajar dari kesilapan mereka didalam tahun 90an dan melalui proses konsultasi awam yang ketat, mereka meletakkan syarat zero liquid discharge kepada Molycorp. Sebaliknya Kerajaan Malaysia akan membenarkan Lynas mengeluarkan 500 metric tonne sisa cecair sejam setiap hari, yang akan dislurkan kedalam Sg Balok membawa ke Laut Cina Selatan, yang sudah tentunya akan mencemari alam sekitar dan juga mencemari Laut Cina Selatan, punca sumber pendapatan nelayan-nelayan di Kuantan. Bukan sahaja nelayan di Kuantan, malah industri perikanan seluruh negara, dan seluruh rantau Asia akan menerima bencana sekiranya berlaku malapetaka yang tidak kita ingini seperti kebocoran sisa radioaktif. Mungkin Lynas kata sisa cecair tersebut telah di rawat akan tetapi tiada industri yang 100% efisyen, dan kita sedia maklum bahawa kita perlu berhati-hati apabila kita melibatkan sisa buangan radioaktif. Kita bukan bercakap tentang kilang kimia biasa, akan tetapi logi pemprosesan tanah nadir terbesar di luar Negara cina yang akan mengluarkan sisa buangan radioaktif, thorium dan uranium yang mempunyai jangka separuh hayat 14 bilion tahun. Di Australia, di dalam lesen yang di keluarkan kepada Lynas. (Atas nama Ashton Rare Earth 1992) sisa WLP hanya boleh disimpan di logi pemprosesan paling lama 8 hari sebelum di hantar ke Mt Weld, tempat asal bahan tersebut. Akan tetapi disini. Lynas mengumumkan bahawa WLP mahu disimpan di tapak LAMP selama 20 tahun.

Tuan Yang di Pertua

Dengan hujah-hujah diatas, rakyat Kuantan ingin menegaskan bahawa kami bukan tikus makmal. Dan kami bukan bahan uji kaji. Setakat ini belum ada lagi industri pemprosesan tanah nadir di luar Negara Cina yang beroperasi menggunakan amalan terpuji dan teknologi terkini. Amalan terpuji masih diatas kertas, belum ada yang benar-benar beroperasi lagi. Seluruh dunia ingin melihat sekiranya Molycorp boleh menjadi benchmark atau penanda aras tersebut. Arafura di Australia Selatan pun masih melalui proses konsultasi awam. Baru diperingkat membuat kajian. Namun standard keselamatan yang di ketengahkan oleh Arafura dan Molycorp jauh terkedepan dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai utama serta mengambil pembangunan lestari sebagai prinsip teras didalam proses membuat keputusan. Standard keselamatan yang di paparkan oleh Lynas setakat ini cukup jauh ketinggalan dan cukup tidak meyakinkan.

Tambahan pula apabila disertakan dengan maklumat latar belakang bagaimana projek ini diluluskan dengan cara cincai dan ekspres.

Tuan yang di pertua, disini ada satu dokumen dari Lynas yang menunjukkan bahawa PEIA di luluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 18 Februari 2008. Dan satu hari kemudian pada 19 Februari 2008, Lynas sudahpun memperoleh Lesen untuk menggunakan tapak dan membina ‘siting and construction license approval’ oleh AELB. Di hari yang sama juga Majlis Perbandaran Kuantan mengeluarkan kebenaran untuk membangunkan LAMP. Efisyen sungguh pihak regulator dan majlis tempatan yang tentu sekali boleh mencipta rekod dunia.

Ditambah pula satu laporan Preliminary Environmental Impact Assessment PEIA yang di buat setakat memenuhi syarat permohonan masuk untuk di dokumenkan. Pakar didalam EIA setelah meneliti dokumen PEIA, menyatakan ianya sekadar kerja ‘copy and paste’

Maka dengan itu, saya ingin mengusulkan kepada Dewan yang Mulia ini, bahawa sementara Jawatankuasa Pilihan Khas ini menjalankan tugas selama 3 bulan didalam meneliti isu-isu keselamatan berkaitan LAMP, perkara-perkara di bawah mestilah di sertakan sebagai syarat:

1. Segala kerja binaan keatas LAMP mestilah di hentikan

2. Segala import bahan galian tanah nadir dari Australia mestilah di bekukan

3. Semua agensi yang terlibat sebagai regulator berhenti membuat kenyataan berkenaan keselamatan LAMP sehinggalah JK Pilihan Khas ini menyiapkan laporan terperinci berkaitan keselamatan projek LAMP

Sekiranya pihak Kerajaan benar-benar ikhlas untuk meneliti keselamatan LAMP, maka mandat berkenaan keputusan nasib dan masa depan LAMP mestilah di berikan kepada JK ini untuk menyarankannya.

Apa-apa sahaja yang kurang dari diatas akan di anggap sebagai sandiwara dan main wayang menjelang Pilihanraya oleh rakyat Kuantan.

Sekian Terima Kasih.

Fuziah Salleh
MP Kuantan

Video streaming by Ustream

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *