Harakahdaily – Tanah sisa nadir bumi untuk PM, menteri

Harakahdaily
18 Mac 2012

IPOH, 18 Mac:Gabungan aktivis anti-Lynas, Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) bercadang menghadiahkan contoh tanah tempat pembungan sisa pepejal nadir bumi di Bukit Merah untuk disimpan anggota kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusinya Tan Bun Teat berkata, tindakan itu bagi melihat adakah pihak kerajaan, sedia menerima sisa radioaktif itu yang didakwa mereka sebagai selamat dan tidak merbahaya sehingga meluluskan pembinaan loji nadir bumi The Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang.

“EALB (Lembaga Perlesenan Atom & Nuklear Malaysia) dan menteri-menteri kabinet kata sisa buangan radioaktif itu tidak merbahaya sampai dia kata ‘kosong ancaman’. Kita nak tahu sama ada mereka akan mengotakan kata-kata mereka.

“Kita akan bawa balik sedikit sisa nadir bumi ini, dan kita cabar mereka untuk simpan dirumah mereka. Mereka jangn cakap tak serupa bikin,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan sehari ke Perak semalam bagi meninjau bekas tapak loji sisa nadir bumi di Kampung Bukit Merah yang telah ditutup pada 1992, di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, tanah tersebut terlebih dahulu akan dijadikan baja untuk pokok bunga seperti cadangan EALB  sebelum pasu bunga itu diserahkan.

Ketika mengambil sampel tanah tersebut, beliau mendapati biarpun sudah lebih 20 tahun ditinggalkan, kadar radiasi tanah tersebut masih melepasi paras bahaya.

Terdahulu hampir 50 orang rombongan SMSL dari Kuantan datang ke sini mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Bukit Merah di sini bagi mendapatkan maklumbalas berhubung kesan loji nadir bumi yang pernah beroperasi di sini.

Dalam pertemuan yang diadakan di Dewan Pusat Rukun Tetangga kawasan Bukit Merah itu, satu jawatankuasa penduduk dibentuk sebagai menyokong tindakan SMSL membantah Lynas di Pahang.

Tukar kerajaan penyelesaian terbaik

Sementara itu, Naib Pengerusi SMSL Ismail Abu Bakar berkata, langkah terakhir bagi menyelesaikan isu Lynas ini adalah dengan menukar kerajaan.

Katanya, kerajaan yang tidak mahu mendengar suara rakyat dan mahu menggadai keselamatan rakyat harus ditolak dan diganti kerajaan yang lebih bertanggungjawab.

“Apa yang kita dah buat jika tak berjaya, akhirnya kita terpaksa balik kepada rakyat.

“Kita akan mintak rakyat tukar kerajaan sebab Pakatan Rakyat sudah janji akan tutup Lynas jika menguasai kerajaan persekutuan,” katanya.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8884-tanah-sisa-lynas-diserah-kepada-pm-menteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *