Free Malaysia Today – Lynas: Injuksi mahkamah jika lesen tidak dibatalkan

Gabungan Hentikan Lynas (SLC) telah memfailkan semakan kehakiman menuntut mahkamah mengeluarkan perintah untuk membatalkan lesen kendalian sementara (TOL) yang telah diluluskan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30hb Januari 2012 untuk projek kontroversi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Gabungan Hentikan Lynas (SLC) telah memfailkan semakan kehakiman menuntut mahkamah mengeluarkan perintah untuk membatalkan lesen kendalian sementara (TOL) yang telah diluluskan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30hb Januari 2012 untuk projek kontroversi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Fazy Sahir | February 17, 2012

Zulkefly Mohamad Omar mendakwa projek Lynas yang berisiko tinggi ini turut mendapat pelepasan cukai sehingga 12 tahun.

KUALA LUMPUR: Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai “Stop Lynas Coalition” (SLC) akan meneruskan injunksi sekiranya lesen ke atas pembinaan dan pengoperasian loji Lynas tidak dibatalkan.

Jurucakap yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar berkata, semakan kehakiman dibuat petang ini menuntut agar pengeluaran lesen bagi projek nadir bumi itu dibatalkan.

Menurut Zulkefly, mereka menamakan tiga pihak terlibat; Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation sebagai responden dalam kes berkenaan.

“Kami tidak berpuas hati dengan lesen yang diberikan. Maka satu semakan kehakiman dibuat melalui e-filing agar membatalkan segala lesen yang diberi atau sedang dipohon dalam projek tersebut.

“Semakan ini juga dibuat agar satu kajian persekitaran terperinci dibuat semula. Ia dibuat mengikut peraturan dan pandangan semula masyarakat yang di kawasan berkenaan.

“Jika pemberian lesen terus diberi maka kami akan teruskan dengan memfailkan injunksi sebagai tindakan susulan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

10 plaintif

Zulkefly mendakwa projek Lynas yang berisiko tinggi ini turut mendapat pelepasan cukai sehingga 12 tahun.

Melalui semakan itu turut dinamakan 10 plaintif yang merupakan penduduk setempat dan diwakili oleh Tetuan Tommy Thomas.

Semakan itu akan dibuat jam 3 petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengerusi Stop Lynas Coalition (SLC), Andamsura Rabu pula berharap mahkamah memberi keutamaan terhadap kes ini kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Bantahan penduduk ada asas kerana tiada cara untuk melupuskan sisa itu kecuali menanamnya. Kita bimbang dengan projek Lynas ini ia akan makin teruk dan menjejaskan ekosistem di kawasan berdekatan termasuklah Balok dan Gebeng,” katanya yang juga Pengarah Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar).

http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/17/lynas-injuksi-mahkamah-jika-lesen-tidak-dibatalkan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *