PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Free Malaysia Today – PKR dakwa pengarah JAS seleweng fakta

December 31, 2011

Dr Ahmad didakwa berkata, kilang Lynas ialah kilang kimia dan bukan kilang radioaktif.

KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan mendakwa Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Dr Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim menyelewengkan fakta mengenai Lynas dalam taklimat tertutup anjuran JASA kelmarin.

Berikutan itu pemimpin PKR menghantar surat kepada Dr Ahmad menuntut penjelasan.

Katanya, pengarah JAS itu menggunakan fakta untuk menyelewengkan pandangan awam.

“Selaku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang pihak tuan harus bersifat lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

“Apabila pihak tuan membuat kenyataan bahawa” kilang Lynas ialah kilang kimia dan bukan kilang radioaktif” ianya merupakan kenyataan ‘separuh benar’ yang berselindung di sebalik fakta.

“Mengapakah pihak tuan selaku Pengarah JAS tidak boleh berterus terang dengan status sebenar kilang Lynas,” kata Fuziah dalam surat tersebut.

Fuziah berkata, kilang Lynas ialah kilang kimia yang akan mengeluarkan sisa buangan bersifat radioaktif diparas 6bq|g.

Katanya, Menteri MOSTI didalam Dewan Rakyat pada 14 November juga telah mengakui bahawa WLP (water leach purification) solid residue -sisa berbentuk pepejal ialah sisa yang diklasifikasikan sebagai radioaktif.

30 peratus nadir bumi

Kilang Lynas juga merupakan logi pemrosesan nadir bumi yang terbesar didunia di luar negara China apabila ianya beroperasi sepenuhnya kelak dan akan mengeluarkan sebanyak 30% keperluan dunia.

Fuziah juga mempersoalkan mengapa JAS membuat taklimat tertutup kepada JASA.

JASA dakwanya juga tidak membenarkan sebahagian dari mereka yang hadir dan wartawan untuk masuk ke Dewan Auditorium RTM.

“Mengapa perlu JASA mengatakan bahawa isu ini isu sensitif dan juga mengatakan bahawa ada pihak yang cuba manipulasi fakta.

“Mengapakah Pengarah JAS perlu bersekongkol dengan JASA dalam taklimat tertutup?

“Bukan kah juga tanggungjawab Pengarah JAS ialah memberitahu perkara yang benar kepada rakyat dan tidak diperalatkan, katanya.

Beliau mendakwa pemerintah yang mahu memutar belitkan fakta sebenar Lynas.

http://www.freemalaysiatoday.com/2011/12/31/pkr-dakwa-pengarah-jas-seleweng-fakta/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *