PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Harakahdaily – Sokong dedah senarai kontraktor Lynas

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Undangan Negeri Pahang, semalam untuk meminta Lynas menyenaraikan kontraktor binaan membabitkan Lynas LAMP.

Beliau berkata, selama ini rakyat hanya mengetahui berkenaan Ranhill dan UGL yang menjadi kontraktor utama pembinaan LAMP.

“Gesaan Menteri Besar Pahang supaya Lynas mendedahkan senarai semua kontraktor akan memberi peluang kepada rakyat untuk memberitahu kepada mereka (kontraktor) bagaimana bentuk bahaya yang bakal dibawa oleh LAMP terhadap manusia dan alam sekitar kelak.

“Sama ada kontraktor yang dilantik merupakan penyokong Pakatan Rakyat atau penyokong Barisan Nasional ia tidak membawa apa-apa perbezaan tetapi LAMP tetap merbahaya, tanpa mengira siapa yang membinanya.

“Saya yakin bahawa beliau telah tidak menerima maklumat yang tepat berkenaan bahaya LAMP, dan besar kemungkinan segala maklumat yang disampaikan kepada beliau ialah maklumat dari Lynas sendiri,” jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Lynas cukup bijak di dalam mengelirukan orang ramai, termasuk juga mengelirukan agensi kerajaan dengan fakta yang mengelirukan, malah laporan IAEA juga tidak pernah mengatakan bahawa LAMP adalah selamat.

Katanya, Adnan harus tahu selepas laporan IAEA dikeluarkan ada beberapa pindaan perlu dilakukan oleh AELB, akan tetapi AELB menggunakan seksyen 41 dalam Akta 304 (berkenaan kerahsiaan) untuk tidak mendedahkan tindakan tersebut kepada orang awam.

Antaranya, kata beliau, satu peraturan baru dibawah Akta 304 telah terpaksa diperkenalkan bertajuk “Pengurusan sisa buangan radioaktif” untuk digunapakai khas oleh Lynas yang mana sebelum ini peraturan tersebut tidak wujud kerana sebelum ini Lynas mengatakan bahawa sisa dari LAMP? merupakan sisa buangan industri yang mengandungi NORM yang tidak merbahaya.

Katanya, pada bulan September lalu, AELB telah pun meluluskan pindaan ke atas lesen mengimport bahan mentah REO dari Australia oleh Lynas? kepada lesen import eksport bahan radioaktif.

Di samping itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah terpaksa mengaku di dalam Dewan Rakyat pada 14 November lalu bahawa sisa buangan dari LAMP bersifat radioaktif.

Justeru, katanya IAEA meminta satu pelan jangka panjang pengurusan sisa buangan dari LAMP untuk sisa WLP berbentuk pepejal yang mempunyai bacaan 6 Bq|g menandakan sisa dari LAMP bersifat radioaktif.

Selama ini, ujarnya Lynas berani bercakap hanya dari aspek radiasi luaran tanpa berani bercakap tentang radiasi dalaman dan juga tidak berani bercakap tentang sisa buangan berbentuk radioaktif (WLP solid waste) dari LAMP yang bertujuan mengelirukan semua pihak termasuk agensi Kerajaan.

“Dan malang sekali buat rakyat kerana segala fakta yang mengelirukan oleh Lynas di ulang oleh pihak agensi Kerajaan sebelum ini tanpa usul periksa,” katanya lagi.

Beliau yakin Adnan yang berjiwa rakyat dan mahukan yang terbaik buat rakyat.

Sehubungan itu, beliau juga menggesa Adnan mengarahkan supaya dikeluarkan juga kepada orang awam syarat-syarat yang dikenakan oleh JAS Pahang ke atas Lynas sewaktu JAS meluluskan laporan EIA pada 15 Februari 2008.

“Saya tegaskan sekali lagi dengan berhujahkan fakta-fakta, bahawa isu LAMP ialah isu yang menggugat keselamatan awam dan Lynas harus ditangani bersama. Sekiranya pihak BN tidak terus mempolitikkan isu ini, ianya adalah lebih baik buat rakyat,” ujarnya lagi.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6881-sokong-dedah-senarai-kontraktor-lynas#.Tt20aqhC980.facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *