Free Malaysia Today – Ahli politik BN-PKR sokong pendaftaran automatik

Dari kiri: YB Datuk Saifuddin Abdullah (UMNO), YB Fuziah Salleh (PKR) dan Profesor Hamdan Adnan (Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia)

Dari kiri: YB Datuk Saifuddin Abdullah (UMNO), YB Fuziah Salleh (PKR) dan Profesor Hamdan Adnan (Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia)

Fazy Sahir | February 11, 2011

Pendaftaran pengundi secara automatik memudahkan orang ramai dan meringankan beban kewangan.

SHAH ALAM: Pelaksanaan pendaftaran secara automatik di negara ini bukan sahaja memudahkan orang ramai menjalankan tanggungjawab untuk mengundi, malah dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata cadangan itu akan membawa transformasi baru dimana pengundi khususnya orang muda mendaftar secara automatik pada umur 18 tahun.

Sambil mengambil contoh negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat, Saifuddin berkata pendaftaran secara automatik pada umur 18 tahun telah digunapakai malah mereka membenarkan rakyatnya mengundi di pusat pengundian.

Menurut beliau di Eropah pula mengambil pendekatan yang baik dengan menurunkan had umur daripada 18 ke 16 tahun bagi menggalakkan rakyat mereka turut serta memilih pemimpin yang menerajui negara terbabit.

“Jika di Malaysia setiap tahun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan hantar borang kemaskini ke SPR dan pengundi sahkan. Umur 21 tahun baru boleh mengundi. Berbeza pula di Jerman pengundi pada umur 18 tahun secara automatik didaftar dan akan mendapat kad pemberitahuan. Amerika Syarikat pula di bawah Akta Pendaftaran 1993 pendaftaran pada umur 18 tahun adalah secara automatik.

“Bukan agungkan negara lain tetapi negara tersebut tidak wajibkan pendaftaran awal malah benarkan pula rakyatnya mengundi ketika hari pengundian. Dengan cara itu mereka dapat mudahkan rakyat,” katanya yang ditemui dalam program Wacana Daftar Pengundi Muda: Wajarkah Di Wajibkan? di Intekma Resort UiTM disini petang tadi.

Saifuddin berkata pengundi muda bersifat skeptikal dalam politik dan yakin dengan demokrasi maka sebagai galakan perlunya roadmap’ yang diamalkan sejak pendidikan rendah lagi.

“Kenapa tidak diadakan pilihan raya untuk pilih pengawas di sekolah. Di universiti mahasiswa laksanakan sepenuhnya dengan bertindak sebagai SPR, pegawai pilihan raya, penyokong agar dapat rasai pengalaman sebenar pilihan raya.

“Dalam PBT pula pilihan raya berkonsepkan komuniti maka akan wujud demokrasi yang inovasi,” katanya.

Pendaftaran automatik kurang beban kewangan

Cadangan itu dipersetujui oleh Naib Presiden PKR Fuziah Salleh dan berpendapat pendaftaran secara automatik wang yang disalurkan dapat digunakan untuk tujuan lain agar dapat memberi pendidikan lebih awal kepada golongan muda.

Malah beliau yang turut mencadangkan agar SPR mula memikirkan cara lebih konkrit daripada bercakap mengenai masalah infrastruktur.

Sambil menyifatkan SPR sebagai ‘harimau tiada gigi’ Fuziah berkata suruhanjaya tersebut masih tidak mampu melaksanakan sebarang undang-undang.

“Jika ada sebarang keganasan kita pergi pada polis, rasuah pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPR Malaysia seperti harimau tiada gigi. Maka itu perlunya SPR ini diletakkan di bawah parlimen.

“Cukup untuk SPR bercakap mengenai infrastruktur sebab kita harus fikir baik kerajaan, pembangkang harus gabung pemikiran untuk cari penyelesaian berhubung hal ini,” katanya yang juga ahli parlimen Kuantan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pilihan Raya Noordin Che Ngah pula berkata untuk merealisasikan cadangan itu ia perlu kelulusan parlimen seperti proses sedia ada.

Menurut beliau kajian secara menyeluruh juga perlu dilakukan SPR bagi meminda perlembagaan agar umur 21 tahun layak mendaftar kepada umur 18 tahun.

Ujarnya, masalah lain akan timbul membabitkan kewangan memandangkan kenaikan pendaftar pemilih jika cadangan itu dilaksanakan menjadi undang-undang.

“Contoh jika daftar pemilih 11.5 juta akhir 2010 tiba-tiba ditambah 4.5 juta pengundi. Di Malaysia sahaja ada 25 juta pengundi, maka disebabkan penambahan akan berlaku kenaikan bajet kewangan RM3,000 ke RM5,000 jika undang-undang ini dilaksanakan.

http://www.freemalaysiatoday.com/2011/02/11/ahli-politik-bn-pkr-sokong-pendaftaran-automatik/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *