PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Sinar Harian – 18 NGO setuju halang Lynas

KUANTAN – Sebanyak 18 pertubuhan mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam merancang strategi bagi memastikan matlamat mereka untuk menghalang projek Lynas di Gebeng tercapai.

Persetujuan itu dicapai dalam Seminar Perancangan Strategik Kempen Hentikan Lynas anjuran Persatuan Penduduk Kuantan Perihatin (KCC) yang berlangsung selama empat jam di sini, kelmarin.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, melalui kerjasama itu, satu badan dikenali sebagai Stop Lynas Coalition akan dibentuk.

Antara pertubuhan terlibat termasuk, Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar), Consumer Association Penang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (Sam), Save Malaysian Stop Lynas (SMSL), Gelombang Hijau, Pahang Bar Council, Malaysia Medical Association (MMA), Kuantan Environmental Watch Group dan Green Coalition.

Turut mengambil bahagian, Kean Tao Baptist Church, Pastor English Team, Kuantan Baptist Church, Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Rakyat Pulau Pinang, Cyber Research Kuantan Team, Pas Indera Mahkota, PKR Indera Mahkota, PKR Kuantan dan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM).

Fuziah berkata, Stop Lynas Coalition ini akan disokong dua kumpulan membabitkan kumpulan utama dan sokongan terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan, parti politik dan individu dari alam dan luar Kuantan.

“Kami sepakat untuk menggunakan segala kekuatan dan sumber yang ada untuk mengerakkan desakan ini ke tahap yang optimum.

“Pada masa sama, gabungan ini akan merangka pelan perancangan strategik enam bulan ke arah mencapai matlamat memastikan projek Lynas milik Lynas Corporation di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini dihentikan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, kelmarin.

Fuziah berkata, desakan itu bagaimanapun akan berterusan sehingga pihak yang terlibat membuat keputusan menghentikan projek tersebut.

“Usaha ini mendapat sokongan padu daripada pertubuhan terlibat malah mereka juga boleh mengerakkan aktiviti dengan matlamat yang sama melalui organisasi masing-masing,” katanya.

Menurutnya, gabungan itu juga akan menggunakan rangkaian di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa untuk tujuan tersebut.

“Selain tindakan undang-undang, kempen kesedaran juga akan dijalankan bagi menyedarkan masyarakat khususnya penduduk Kuantan berhubung isu itu.

“Semua pertubuhan terlibat bersetuju untuk mengadakan perjumpaan secara berkala dan mereka bersedia untuk mempengerusikan mesyuarat secara bergilir-gilir,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story9568550.asp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *