Free Malaysia Today – Kilang nadir bumi: PKR sokong usaha Fuziah

FMT Staff | August 27, 2011

“Fuziah mempertahankan hak penduduk Gebeng dan harus dipuji kerana usahanya sebagai seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab,” kata Nurul Izzah Anwar.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tampil memberi sokongan dan mempertahankan perjuangan rakan sejawatnya, Fuziah Salleh dalam isu pembinaan kilang memproses nadir bumi (rare earth) di Gebeng, dekat Kuantan.

Nurul mengecam tindakan tidak bermoral Barisan Nasional (BN) memperalatkan TV3 milik Umno untuk memperlekeh usaha , Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan dan Naib Presiden PKR itu dan Gerakan Anti-Lynas menentang projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) sebagai satu usaha yang terdesak.

“BN menjalankan dakyahnya dengan berselindung disebalik dua pakar nuklear yang memusingkan fakta dan menyelewengkan matlamat dan tujuan gerakan anti-Lynas untuk memenuhi kepentingan politik mereka,” ujar Nurul dalam satu kenyataan medianya.

Menurut beliau, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga Pengerusi Biro Alam Sekitar Zulkefly Mohd Omar juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong gerakan anti-Lynas yang mendapat sokongan daripada gabungan Pakatan Rakyat.

“Tambahan pula, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Peguam, Sahabat Alam Malaysia, Aliran dan Persatuan Pengguna Pulau

Pinang turut menyuarakan kebimbangan berhubung projek ini,” terang beliau.

Nurul menegaskan, ‘gerakan anti-Lynas tidak pernah menjuruskan perhatiannya hanya kepada radioaktif semata-mata.

“Sebaliknya, gerakan ini menentang LAMP berdasarkan pembinaan kilang memproses nadir bumi di negeri Perdana Menteri Datuk Seri

Najib Tun Razak itu kerana kilang ini akan menjejaskan kesihatan para penduduk Gebeng dan merosakkan alam sekitar.

“Ini akan menjejaskan industri perikanan dan pelancongan, sekaligus memberi kesan buruk kepada ekonomi negara secara keseluruhannya,” tegas beliau.

Menurutnya, LAMP akan mucul sebagai kilang memproses nadir bumi terbesar di dunia selepas China apabila beroperasi kelak.

Kesihatan penduduk terjejas

“Oleh itu, kami berpendirian bahawa keselamatan dan kesihatan para penduduk di Gebeng dan kawasan sekitar terlalu bernilai untuk dikorbankan bagi mendapatkan keuntungan ekonomi yang sedikit.

“Dalam hal ini, Fuziah mempertahankan hak penduduk Gebeng dan harus dipuji kerana usahanya sebagai seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab,” kata Nurul.

Buletin Utama TV3 kelmarin menyiarkan wawancara dengan dua pakar saintis nuklear, Ahli Parlimen-PAS Hulu Langat Dr Che Rosli Che

Mat serta Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang mengkritik Fuziah sengaja memutarbelit fakta Lynas dan memainkan emosi penduduk Kuantan.

Menjawab mengenai tuduhan itu, Fuziah berkata wawancara tersebut sengaja dirancang BN untuk memelihara kepentingan mereka dan Lynas dan bukannya rakyat.

Fuziah melalui peguamnya N Surendran menghantar notis penjelasan kepada Ketua MCA Kuantan Ti Lian Ker berhubung kenyataannya kepada Buletin Utama TV3 pada 30 Jun lalu berbunyi ?YB Fuziah mengatakan pegawai-pegawai kita, pakar-pakar Melayu, pakar-pakar rakyat Malaysia semua tidak boleh dipercayai.”

Melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh, Surendran berkata anak guamnya itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti apa yang disebut Ti, sekaligus menganggap ia sebagai tuduhan serius yang membawanya kepada isu skandal, kebencian dan penghinaan.

Sehubungan itu, Surendran mahu Ti menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara bertulis dan jaminan tidak akan lagi membuat fitnah terhadap anak guamnya, serta membayar jumlah kerugian kerana mencalarkan reputasi dan memberi tekanan kepada Fuziah.

http://www.freemalaysiatoday.com/2011/08/27/kilang-nadir-bumi-pkr-sokong-usaha-fuziah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *