PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Malaysia Chronicle – Lynas: PAS Pusat akan panggil Dr Che Rosli

Lynas: PAS Pusat akan panggil Dr Che Rosli

KUALA LUMPUR – PAS Pusat akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat berhubung kenyataannya mengenai isu Lynas yang disiarkan di TV3, malam tadi dalam Buletin Utama.

Selain itu, PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul ekoran kenyataan Dr Che Rosli mengenai perkara itu.

Menurut beliau, sehingga kini beliau selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Katanya, jadi kenyataan Che Rosli itu ternyata tidak berasas dan sehubungan itu pihaknya perlu memanggil Che Rosli bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri mengenai perkara itu.

“Saya selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan halangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dengan nuklear. Jadi kita akan panggil Dr Che Rosli untuk mendapatkan penjelasannya,” katanya pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Dr Che Rosli dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam mengatakan beliau sudah lama bersabar dalam perkara itu sebab Penerangan PAS Pusat melarang beliau membuat kenyataan berhubung nuklear termasuk mengenai isu Lynas.

Selain itu, Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya.

Kenyataan Dr Che Rusli itu amat mengejutkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS kerana ia jelas bertentangan dengan pendirian PAS mengenai isu Lynas.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS dan Pakatan Rakyat tetap menolak projek nuklear Lynas di Gebeng, Kuantan kerana memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh penduduk negara ini terutama penduduk di kawasan itu.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, katanya, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik Lynas di Gebeng Kuantan.

“Selain itu, risiko yang tinggi juga akan dialami ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya,” katanya.

Menyedari hakikat itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, PAS Pahang tetap konsisten dengan keputusannya sejak dulu yang bersama-sama penduduk di kawasan Gebeng, Kuantan menolak projek nuklear Lynas.

“Malah berdasarkan kenyataan penduduk di kawasan itu, sekiranya Dr Che Rosli yang bersetuju dengan projek itu, jangan sekali-kali dibina di kawasan mereka, tetapi bawalah projek nuklear Lynas itu ke tepi rumah Dr Che Rosli sendiri.

“Kenyataan penduduk di kawasan Gebeng itu perlu difahami dengan jelas oleh Dr Che Rosli. Mereka menentangnya bukan kerana tidak memahami kepentingan nuklear, tetapi tidak yakin dengan pengawalan dan pemprosesannya.

“PAS dan Pakatan Rakyat amat faham perkara itu dan ia juga amat perlu difahami oleh pelbagai pihak. Itulah sebabnya PAS bersama-sama penduduk di kawasan itu konsisten menentangnya sejak dulu,” ujar beliau.

 

– Harakah Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *