Harakahdaily – Lynas: Pandangan berbeza dari Lajnah Alam Sekitar PAS

Lynas: Pandangan berbeza dari Lajnah Alam Sekitar PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Lajnah Alam Sekitar PAS mempunyai pandangan berbeza dengan dua pakar atom termasuk seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat berkaitan dengan kilang Lynas di Kuantan. 

 

(Zulkefly kiri dan Dr Che Rusli kanan)

Menurut pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar, perbezaan ini berdasarkan kajian mendalam yang mereka buat terhadap kilang ini dan pengalaman yang dilalui oleh kilang seumpamanya seluruh dunia.

Malam tadi, Dr Che Rusli, anggota parlimen Hulu Langat, seorang pakar atom yang pernah bertugas di Puspati dan pensyarah UKM memberikan wawancaranya dengan TV3 dan yakin kilang itu selamat.

Namun, aktivis dan pimpinan PAS di peringkat kawasan Kuantan khasnya di Gebeng, tempat kilang itu sedang dibina membantah keras pembinaannya.

Perbezaan ini disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai perbezaan pendapat teknikal yang tidak menjadi kesalahan kerana PAS menyatukan ahli-ahlinya dengan kesatuan aqidah melalui Islam.

Ia juga melambangkan kesuburan kebebasan memberikan pandangan yang bukan menjadi tunjang kepada aqidah.

Berikut adalah kenyataan penuh Zulkefly yang dihantar kepada Harakahdaily.

Saya Zulkefly Mohamad Omar, AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat ingin memberi kenyataan berhubungkait kenyataan Dr Che Rusli Che Mat dan Prof Ahmad Termizi di TV3 semalam dalam Buletin Utama TV3.

Saya telah mengamati kenyataan kedua-dua tokoh tersebut dan sama sekali tidak berhasrat untuk mempertikaikan kaliber mereka sebagai Pakar Saintis Nuklear. Apa yang saya utarakan bahawa beberapa pandangan yang berbeza boleh dianggap sebagai medan untuk saya perjelaskan tentang Pendirian Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat dan Badar (Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery)berkaitan? Isu Kilang Rare Earth Refinery yang akan beroperasi Gebeng, Kuantan.

Pendedahan mereka yang dipetik dari TV3 berkenaan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS adalah Loji Nuklear disangkal PAS. PAS tidak pernah mengakui bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu adalah Loji Nuklear, malah nama badan yang berjuang untuk menentang LYNAS itu adalah Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (BADAR) di mana pekataan “refinery” itu sendiri merujuk kepada KILANG.

Memetik kenyataan Prof.Dr.Ahmad Termizi bahawa risiko bukan alasan untuk mengharamkan sesuatu perkara dan risiko itu mesti berpadanan dengan manfaat jelas merupakan satu kenyataan yang tidak berasas malah dilihat seolah-olah cuba memperjudikan nasib penduduk setempat khususnya penduduk di sekitar Balok Kuantan di atas nama kemajuan teknologi dan ekonomi.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik LYNAS di Gebeng Kuantan, ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya.

Kami tahu banyak air sisa yang dikatakan “telah dirawat” akan dilepaskan ke Sungai Balok yang diketahui umum sudah tercemar pada tahap 2 dan 3. Malah sehingga hari ini, penduduk setempat masih tidak dilibatkan di dalam menilai perancangan pengurusan sisa buangan milik LYNAS itu.

Risiko dari Kilang LAMP milik LYNAS adalah sesuatu risiko yang tidak boleh dikompromi walaupun jika ada manfaatnya dari aspek ekonomi walaupun PAS ragu-ragu dengan manfaat ekonomi yang dimaksudkan. Pelepasan cukai perolehan selama 12 tahun kepada LYNAS adalah satu tindakan yang tidak menguntungkan negara.

Risiko itu tidak boleh dikompromi dengan manfaat kerana pencemaran sisa radioaktif kepada alam sekitar tidak mampu dipulihkan dalam tempoh yang singkat malah dikenalpasti akan kekal sehingga tempoh yang lama iaitu puluhan tahun lamanya.

Malah ancaman kepada kesihatan juga boleh berlaku seperti penyakit kanser dan lieukemia jika terdapat kebocoran dan kegagalan fungsi peralatan yang sedia ada sehingga menyebabkan pendedahan bahan-bahan beradioaktif kepada penduduk setempat. Laporan keretakan tangki simpanan serta spesifikasi yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti yang dipaparkan oleh New York Times (NYT) mengukuhkan lagi ketidakyakinan penduduk setempat kepada jaminan keselamatan yang acap kali diwawarkan oleh agensi yang berkenaan termasuk pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS sekali lagi menegaskan tahap dos sinaran yang dimaksudkan Prof. Dr. Ahmad Termizi hanyalah satu daripada beberapa isu yang dibangkitkan rakyat.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana membangkitkan kegusaran mereka terhadap aspek-aspek keselamatan termasuk potensi ancaman dari kilang LAMP milik LYNAS itu. Lebih-lebih lagi penglibatan pihak awam tidak dialu-alukan dari peringkat awal malah kelemahan aspek ini diakui oleh wakil MITI ketika kami bertemu mereka tempoh hari. Lebih-lebih lagi Kajian Alam Sekitar (PEIA) jelas tidak melibatkan pihak awam ketika itu walaupun Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) boleh digunapakai seolah-olah potensi pelbagai ancaman yang tidak sahaja terhad kepada pancaran radiasi tidak menjadi satu kepentingan dan keutamaan kepada penduduk setempat.

Apakah risiko itu boleh dipadankan dengan manfaatnya?. PAS menyangkal kenyataan ini apabila ia melibatkan industri yang berisiko tinggi seperti ini.

Insiden dari loji nuklear Fukushima boleh dirasai oleh beberapa negara yang beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi kesan ini tidak dirujuk sebagai kesan radiasi sahaja tetapi lebih dirujuk kepada potensi penyebaran “radioactive particles” atau “serbuk/habuk radioaktif” yang boleh bergerak dan tersebar melalui air dan udara sehingga manusia yang menghidunya atau menelannya berpotensi sebagai ancaman kepada organ dalaman manusia.

“External Radiation” atau “Radiasi Luar” bukan kerisauan utama penduduk setempat tetapi “Internal Radiation” atau “Radiasi Dalaman” itulah yang menjadi kegusaran utama penduduk setempat. Tahap pencemaran habuk yang sedia dari Kawasan Perindustrian Gebeng (GIE) akan lebih parah dengan kehadiran kilang LAMP milik LYNAS itu. Pendedahan radiasi dalaman berkemungkinan tetap ada.

Kenyataan yang mengatakan bahawa ketakutan orang ramai hanya merujuk kepada tahap radiasi sahaja juga tidak tepat kerana hakikatnya bukan tahap radiasi sahaja yang menjadi pertikaian penduduk setempat selama ini malah tahap radiasi yang dimaksudkan beliau yang mirip hanya kepada “external radiation” atau “radiasi luar” sahaja sebenarnya lebih menjurus kepada ancaman “internal radiation” atau “radiasi dalaman” seperti yang dimaksudkan di atas. Radiasi dalaman boleh menyumbang kepada kerosakan organ dalaman manusia.

Kegusaran penduduk dan pandangan umum dari berbagai lapisan masyarakat adalah berdasarkan beberapa tindakan yang di lakukan oleh Lynas terlalu tergopoh-gapah untuk meneruskan operasi pembinaan tanpa mengambil pandangan penduduk dan rakyat khususnya di Kuantan serta kawasan yang berhampiran.

Bagaimanakah keyakinan tinggi di kalangan penduduk setempat terhadap agensi penguatkuasa alam sekitar itu wujud jika pencemaran Sungai Balok sudah ditahap 2 dan 3? Adakah rakyat harus yakin akan kredibiliti agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk memantau kilang LAMP milik LYNAS jika Sungai Balok sendiri sudah gagal dipantau agensi kerajaan yang berkenaan.

Adakah dengan semua ini, rakyat harus tetap yakin dengan kredibiliti agensi kerajaan yang berkaitan?

Rakyatkah yang salah?

PAS juga menyangkal bahawa isu LYNAS ini dibawa oleh PKR. Malah PAS sekali lagi tetap bertegas bahawa isu LYNAS adalah isu yang dibawa oleh PAKATAN RAKYAT dan telah lama disepakati.

Rakyat Kuantan khususnya mempunyai sebab untuk takut akan kewujudan Kilang LAMP milik LYNAS. Kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu selamat bersandarkan laporan IAEA juga tidak tepat kerana penilaian panel pakar IAEA itu hanya bersandarkan tahap pembinaan infrastruktur Kilang LAMP milik LYNAS yang pada ketika itu hanya ditahap 40 peratus sahaja malah Kilang itu masih belum beroperasi dan pengurusan sisa buangan juga tidak dinilai, bagaimanakah pihak-pihak tertentu boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu SELAMAT?

Malah 11 cadangan penambahbaikan yang dicadangkan oleh panel IAEA itu jelas menunjukkan bahawa polisi, piawaian dan prosedur yang sedia ada di Negara ini masih terbelakang berbanding piawaian antarabangsa. Jika Negara ini memenuhi piawaian antarabangsa, kenapa perlu ada 11 penambahbaikan itu”.

Hakikatnya kehadiran Kilang LAMP milik LYNAS dibuat tanpa penglibatan pihak awam dan tidak menyeluruh. Malah kelemahan ini diakui panel IAEA itu dan wakil MITI sendiri. Adakah salah rakyat untuk beremosi apabila hanya diberitahu ketika pembinaan infrastruktur kilang sudah mencecah 40 peratus? Dan adakah fakta-fakta yang dibentangkan oleh wakil penduduk adalah semata-mata propaganda dan tidak berdasarkan ilmu? Termasuk tiada rujukan kepada pakar-pakar tertentu”.

Rakyat tidak pernah beremosi kosong, malah emosi itu disertakan kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat berkenaan ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel IAEA sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak LYNAS dan AELB.

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas meyakinkan kerajaan sedangkan agensi-agensi yang berkenaanlah yang harus menyakinkan pihak kerajaan bahawa pelan pengurusan sisa buangan adalah satu kewajipan yang perlu ada.

Bukankah rakyat yang berperanan sebagai majikan kepada agensi-agensi yang berkenaan melalui bayaran cukai pendapatan tahunan?

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar penduduk setempat?

Zulkefly Mohamad Bin Omar
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5104-lynas-pandangan-berbeza-dari-lajnah-alam-sekitar-pas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *