SPM & STPM 2016

 

Hari ini sudah tiba anak-anak sekalian.Saya mulakan dengan kisah saya.Saya juga penah menjadi pelajar seperti kalian,sehingga detik ini saya masih belajar. Saya masih ingat dengan kata pujangga guru saya di sekolah menengah methodist kuantan satu ketika dulu, katanya “ilmu itu bukan datang pada kita, ia harus di kejar, dicari” .

Memandangkan ketika itu, saya menuntut di sekolah aliran Inggeris, saya di wajibkan mengambil Malaysia Certificate of Education (MCE). Untuk rekod, selepas tahun 1979 tiada lagi peperiksaan MCE di Semenanjung Malaysia.

Gemeruh ketika peperiksaan tiba – harus di ingat,saya juga manusia biasa. Cuma berbekalkan usaha,doa dan tawakal yang menjadi senjata ampuh kepada saya ketika itu,saya harungi jua. Dipendekkan cerita setelah mendapat keputusan peperiksaan, allhamdulilah saya antara beberapa pelajar yang yang mendapat tajaan belajar ke luar negara dek kerana keputusan cemerlang.

Anak-anak sekalian,keputusan peperiksaan hanyalah satu pencapaian material. Ia melibatkan kesungguhan, fokus, kefahaman, memori yang baik, usaha dan tawakal kepada Allah. Hasil gabungan elemen-elemen ini, maka diterjemahkan dalam bentuk keputusan peperiksaan yang diukur dengan abjad A, B, C, D, E atau F.

Jadi apa jua keputusan yang bakal anak-anak terima kelak,apa jua keputusanya,saya harap jangan lah di biar mati usaha menimba ilmu kepada diri anak-anak yang saya kasihi sekalian.Perlu di ingat,anak -anak sekalian lah yang akan menjadi kemudi negara kelak. Penyumbang kemajuan negara kita yang tercinta ini.Panjangkan lah lagi ilmu kalian,tinggkatkan lah usaha kalian.

Usaha selama setahun kini bakal di pergunakan sepenuhnya.Segala ulang kaji,fakta dan formula harus di terjemahkan kedalam kertas soalan. Saya harap segalanya akan berjalan lancar dan di permudahkan.

Semoga peperiksaan SPM & STPM 2016 ini akan menjadi titik tolak kepada kejayaan anak-anak sekalian. Akhir kalam,anak-anak yang saya kasihi,saya ucapkan selamat menempuhi peperiksaan yang bakal ditempuhi dengan jaya.

Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan – P083

 

Pejabat Ahli Parlimen Kuantan & Adun Teruntum di simbah Cat Merah Oleh dua individu

Pada 26 Oktober 2016, Pejabat Ahli Parlimen Kuantan & Adun Teruntum telah di simbah dengan cat “MERAH”. Perbuatan tidak bermoral ini dipercayai dilakukan oleh dua individu yang tidak dikenali.

Kejadian ini disedari oleh pekerja Pejabat Ahli Parlimen Kuantan apabila beliau sampai di pejabat untuk memulakan tugas. Kami percaya dua individu yang tidak dikenali ini berniat menjatuhkan reputasi dan memberi amaran kepada kami mungkin kerana kami begitu konsisten menyokong konvoi bersih5 di pahang.14650456_619985531503111_3951729309094637458_n

Kami kecam sekeras-kerasnya tindakan bacul dan tidak bertamadun ini. Satu laporan polis telah di buat terhadap dua individu ini. Siasatan juga telah di jalankan. Segala bukti telah kami serahkan kepada pihak polis untuk siasatan.

Aidilfitri 1436 H / 2015

image

image

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Marilah kita sama-sama bertahmid dan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt di atas kemenangan yang dianugerahkan kepada kita untuk menyempurnakan ibadah puasa tahun ini. Kemenangan ini amat bermakna jika kita berjaya melaksanakan tranformasi diri ke arah menjadi insan yang terdidik yang sentiasa berakhlak kepada Allah dan manusia di mana sahaja kita berada.

Ibadah puasa merupakan satu perjalanan spiritual bagi mentarbiyyah rohani dan juga menguji fizikal. Moga Ramadhan yang telah dilalui, akan menjadikan kita individu yang sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak untuk mencorak sebuah kehidupan bagi generasi masa hadapan.

Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemenangan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan insan-insan yang tidak berkemampuan dan saudara-saudara Islam kita yang terjebak dalam krisis dan peperangan yang mengorbankan jiwa dan nyawa. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang aman di bumi yang bertuah ini. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 12:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Bertolak dari sini, sewajarnya Syawal yang menjelang ini membawa makna yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada kita yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga di samping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan.

Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita terus menyemarakkan tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluasnya dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke rumah masing-masing.

Akhir kata, saya dengan rasa rendahan hati bagi pihak diri, suami, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Saya mendoakan agar warga yang pulang ke kampung untuk berhari raya selamat dalam perjalanan menuju ke distinasi masing-masing dan selamat kembali bertugas semula nanti. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hajah Fuziah Salleh

Ahli Parlimen Kuantan | P083

 

Manifesto Calon P083 Kuantan,Hajjah Fuziah Salleh

Fuziah-A4FlyerSetelah berkhidmat turun padang tanpa henti  selama lima tahun selaku Ahli Parlimen Kuantan (2008-2013), saya cukup prihatin dalam memahami masalah rakyat.

Manifesto  ini ialah tawaran sebagai penyelesaian kepada isu-isu yang selama ini memang telah di perjuangkan oleh saya khusus untuk warga Kuantan di Parlimen dan juga di luar Dewan Rakyat.  Sekiranya rakyat Kuantan memberikan mandat dan amanah kepada Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Putrajaya saya bertekad untuk melaksanakan perkara-perkara  berikut :

KOMITMEN:

1) Pelaksanaan Pembangunan Lestari Ke arah Kehidupan Lebih Berkualiti.

Kuantan merupakan pusat pelancongan dan juga di antara pengkalan perikanan terbesar di Malaysia. Pakatan Rakyat komited untuk membangunkan Kuantan dengan meningkatkan pelaburan dan menambah tarikan menggalakkan pelancong berkunjung.   Namun segala pembangunan untuk menambah baik ekonomi setempat yang dibawa ke Kuantan haruslah bersifat lestari tanpa kompromi ke atas kualiti kehidupan generasi masa depan mahupun alam sekitar. Oleh itu industri yang mencemarkan seperti Lynas akan ditolak sama sekali.

Kehidupan berkualiti juga dititikberatkan ke atas golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu-ibu tunggal yang membanting kudrat harian untuk membesarkan anak-anak.  Projek ekonomi kecil-kecilan dengan skim mikro kredit akan direncanakan dalam usaha untuk membantu meningkatkan pendapatan bulanan golongan ini.  Prinsip yang saya pegang ialah memberi pancing dan mengajar mereka mengail lebih baik dari memberi mereka ikan setiap hari.

2) Membangunkan Prasarana Lebih Baik Secara Umum dan Dalam Rangka Menyelesaikan Masalah Banjir Secara Khusus.

Ciri-ciri bandar yang santai merupakan anatara tarikan para pesara untuk membeli rumah dan menetap di Kuantan. Ianya juga merupakan daya tarikan pelancong. Ciri-ciri ini akan diambil kira dalam usaha membangunkan dan meningkatkan kemudahan asas di Kuantan.

Disebabkan kedudukan  Bandar Kuantan yang rendah, di mana  kedapatan air bawah tanah dalam kadar satu meter dari muka bumi,  bersekali  dengan sistem perparitan yang tidak teratur, Bandar Kuantan kerapkali berhadapan dengan banjir sewaktu musim tengkujuh.   Pakatan Rakyat komited untuk mengkaji punca keadaan tersebut, seterusnya  menyelesaikan masalah banjir di Kuantan secara komprehensif dan bukan secara tempelan seperti sekarang ini.

3) Mensasarkan  Setinggan Sifar dan Mewujudkan Rumah Mampu Milik buat Semua Warga Kuantan.

Walaupun Kuantan merupakan ibu negeri  Pahang, namun  kewujudan setinggan bandar merupakan sesuatu yang gagal ditangani selama ini.  Rumah mampu milik buat semua peringkat pendapatan amat berkurangan bersekali dengan banyaknya projek perumahan terbengkalai yang  tidak dapat dipulihkan. Antaranya ialah projek perumahan Bunut Rendang, khusus untuk para nelayan yang telah lebih 10 tahun terbengkalai dan kini penuh semak samun.  Begitu juga 832 unit rumah pangsa  di  Pak Mahat  yang sudah tebengkalai sejak 2006 lagi dan ketika ini baru mula boleh diduduki setelah mendapat bantuan dana tambahan sebanyak RM 7 juta.

Setiap rakyat berhak  menikmati kehidupan dalam persekitaran yang selesa dan sihat.  Saya yakin bahawa kawasan setinggan bukanlah merupakan kawasan yang sesuai untuk membesarkan anak-anak.  Dengan itu pakatan Rakyat komited untuk menangani aspek perumahan ini dalam rangka mengangkat kualiti kehidupan seluruh warga Kuantan dari pelbagai latar belakang.

4) Sistem Pengangkutan Awam  yang “Integrated” (Bersepadu)

Kuantan selaku ibu negeri  merupakan satu-satunya  tempat yang tidak mampu menyelesaikan sistem bas bandar dari 2006 sehingga penghujung tahun 2012.  Namun kini walau terdapat bas RAPID, ada banyak lagi keluhan  berkenaan masalah yang berkaitan.  Ini adalah kerana gagalnya pihak kerajaan sekarang untuk menampilkan satu sistem pengangkutan awam yang  “integrated” atau bersepadu.

Wawasan saya ialah ke arah mewujudkan satu sistem pengangkutan aliran ringan di atas jalan sedia ada, bas, dan teksi yang bersepadu di antara satu sama lain yang dapat menguntungkan rakyat pengguna disamping membawa keuntungan kepada pemberi servis.  Sistem pengangkutan awam yang berjaya juga kelak akan dapat mengurangkan kesesakan jalanraya dari kenderaan persendirian seperti yang berlaku sekarang ini.

5) Membina  Komuniti Selamat dan Pencegahan Jenayah Sosial

Sebagai seorang ibu saya amat prihatin dan menitikberatkan pembentukan persekitaran sosial di mana anak-anak kita akan membesar dan meneruskan kehidupan mereka.  Justeru itu membangunkan komuniti yang makmur dan selamat buat semua warga, tak kira muda atau tua, lelaki atau wanita, merupakan di antara prioriti saya.

Komuniti yang sihat melibatkan penambahan tapak rekreasi, taman mini hijau untuk santai atau beriadhah, lorong basikal dan pejalan kaki merupakan wawasan saya.  Begitu juga tempat anak-anak muda beriadhah dan bersukan lasak seperti “skateboard” bersekali  dengan persekitaran yang sihat di tengah bandar. Dengan ini akan menjadikan  Kuantan sebuah bandar yang  lebih aman, menarik, sihat dan sejuk buat penghuni dan pengunjung.

Program-program membina komuniti  harus berjalan seiring dan diberi keutamaan yang  sama  dengan program mencegah jenayah serta aktiviti tidak sihat.  Aktiviti tidak sihat yang merosakkan generasi masa depan seperti judi internet harus dibanteras habis-habisan.  Gejala sosial juga harus ditangani secara komprehensif.

IMPLIMENTASI :

Komitmen saya ialah untuk menggarap semua elemen positif di dalam masyarakat seperti kelompok “civil society”, badan bukan kerajaan (NGO ) dan badan-badan agama untuk berganding bahu dengan kerajaan demi menjayakan wawasan di atas.  Akan diwujudkan komunikasi dua hala untuk menerima pandangan orang ramai dan konsultasi awam akan menjadi amalan  di dalam proses pelaksanaan semua tawaran di atas.

Insya Allah wawasan, harapan dan tawaran ini dapat menjadi  realiti apabila Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Fuziah-A4Flyer

Fuziah-A4Flyer

Sekian saya sertakan link video Manifesto calon P083 Kuantan,Hajjah Fuziah Salleh. Terima Kasih.

Maklumbalas Dan Analisa Manifesto Barisan Nasional

 

Apabila politik nasional lebih banyak berkisar kepada persoalan dan perdebatan dasar (bukannya politik perkauman, kebencian dan cacian peribadi), rakyat berpeluang untuk menilai sendiri perbandingan program ekonomi dan kerajaan yang ditawarkan oleh parti-parti politik.

Justeru, saya menyambut baik peluncuran Manifesto Barisan Nasional dan ingin mengambil kesempatan ini untuk membentangkan analisa perbandingan di antara Manifesto Rakyat dan Manifesto Barisan Nasional.

TEMA

• Manifesto Barisan Nasional yang bertemakan “Menepati Janji, Membawa Harapan” secara jelas dan tanpa segan silu menciplak tema “Pakatan Harapan Rakyat” yang telah lama diluncurkan oleh Pakatan Rakyat.

• Saya mengambil pendekatan positif dan berpendapat bahawa pemikir Barisan Nasional pun menerima hakikat bahawa agenda ekonomi rakyat yang bersabit dengan penurunan harga barang, kempen #Turunkanhargakereta, pendidikan percuma, hapuskan tol dan lain-lain yang dibawa oleh Pakatan Rakyat akhirnya diterimapakai oleh Barisan Nasional.

• Ini kerana mereka juga sedar bahawa agenda ekonomi rakyat ini telah menjadi harapan rakyat yang bakal digalaskan kepada kerajaan baru yang dipilih.

• Oleh itu, PRU13 adalah persoalan parti manakah yang lebih wibawa dalam mengotakan harapan rakyat ini – sebab itu Barisan Nasional tidak ada pilihan kecualilah menggunakan perkataan “harapan” seperti mana Pakatan Rakyat, untuk memberi isyarat mereka juga faham dengan harapan yang telah disuarakan rakyat.

PENDEKATAN DASAR

• Barisan Nasional kontang idea dan tidak berjaya membawa program baru. Manifesto Barisan Nasional ditulis secara umum, tanpa sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbeza dengan Manifesto Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

• Contohnya, apabila Barisan Nasional berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru – mekanisme dan pelan khusus untuk mencapai sasaran ini tidak dinyatakan, berbeza dengan Manifesto Rakyat yang secara jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mengambil alih 1 juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing. Strategi mewujudkan peluang pekerjaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat adalah lebih jelas, berbanding janji kabur yang dibawa Barisan Nasional.

• Semakan ke atas keseluruhan Manifesto Barisan Nasional menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji Barisan Nasional.

• Ini bermakna Barisan Nasional masih menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama tetapi berharapkan keadaan menjadi lebih baik.

• Tanpa perubahan dasar yang merubah struktur ekonomi, politik, pendidikan dan sosial negara, Malaysia akan terus bergelumang dengan rasuah, ketirisan, ketidakcekapan ekonomi, penguasaan monopoli kroni, harga barang yang ditentukan oleh pihak tertentu dan mutu pendidikan yang semakin merosot.

• Manifesto Barisan Nasional akhirnya hanyalah senarai janji-janji tanpa membentangkan kaedah dasar dan pelaksanaan untuk merealisasikan janji-janji itu.

PERBANDINGAN PROGAM: KONTANG IDEA BARU, CIPLAK IDEA PAKATAN RAKYAT

• Analisa terhadap janji-janji Barisan Nasional menunjukkan bahawa sebahagian besar dari janji-janji yang dimasukkan bukanlah idea baru, tetapi diciplak dari Pakatan Rakyat atau adalah idea yang sama yang kini digunakan di oleh Barisan Nasional.

• Janji-janji berikut diciplak dari Pakatan Rakyat (walaupun pelaksanaannya tidak akan memenuhi harapan rakyat kerana tidak dilaksanakan sepenuhnya):

1. Menurunkan harga kereta dengan penurunan 20% – 30% secara berperingkat
2. Menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dan Sabah Sarawak
3. Menggunakan dana kerajaan melalui penglibatan terus kerajaan untuk menambah rumah mampu milik sebagai usaha mengawal harga rumah
4. Memperbaiki perumahan estet dan memastikan perumahan selesa bagi bekas pekerja estet
5. Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat
6. Menambahbaik perkhidmatan bas untuk digunakan secara bersepadu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan awam
7. Memberikan permit teksi individu
8. Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi (high speed rail)
9. Membina Lebuhraya Pan Borneo
10. Mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat
11. Reformasi percukaian untuk mengurangkan beban cukai pendapatan kepada golongan bawahan
12. Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana mengikut peratusan perolehan minyak
13. Peruntukan khas kepada semua jenis sekolah
14. Menawarkan status sekolah bantuan penuh kerajaan bagi sekolah-sekolah Tamil
15. Penekanan kepada pendidikan kemahiran dengan menaiktaraf sekolah vokasional menjadi kolej
16. Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum
17. Mewujudkan mahkamah khas untuk menangani isu-isu tanah pribumi
18. Mewartakan semua tanah adat
19. Menjana pendapatan dari pembangunan tanah wakaf
20. Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru KAFA dengan menyediakan pakej penggajian yang lebih baik
21. Menaikkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok
22. Memastikan keseimbangan kaum yang lebih adil di dalam perkhidmatan awam

• Tindakan Barisan Nasional menciplak idea-idea asal yang sudah pun sinonim dengan Pakatan Rakyat seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol dan lain-lain mengesahkan bahawa negara mempunyai kewangan yang kukuh selama ini untuk melaksanakan program-program ini.

• Alasan yang diberikan selama ini hanyalah dolak-dalih politik, tetapi oleh kerana tekanan yang kuat dari rakyat akhirnya Barisan Nasional tidak ada pilihan lain kecuali menciplak idea-idea ini.

PERBANDINGAN KEBERKESANAN PROGAM: PENDEKATAN BARISAN NASIONAL TIDAK AKAN MERUBAH KEDUDUKAN RAKYAT

• Keseluruhan kempen Barisan Nasional kini disandarkan kepada pemberian BR1M yang selepas ini akan dibuat setiap tahun pada kadar yang lebih tinggi, iaitu RM1,200 untuk keluarga dan RM600 untuk individu bujang.

• Jumlah ini bersamaan dengan RM100 setiap bulan untuk keluarga dan RM50 sebulan untuk individu bujang, pada ketika Barisan Nasional tidak mengemukakan apa-apa cadangan untuk menurunkan harga barang.

• Akhirnya, inflasi dan kenaikan harga barang akan melunturkan kesan pemberian wang terus ini kepada rakyat yang dijangka akan menelas belanja RM7.2 bilion dalam tahun pertama. Mengambil kira pertumbuhan penduduk sebanyak 2% secara purata dan inflasi pada kadar purata 2% untuk tempoh sedekad dari sekarang, menjelang tahun 2023 jumlah pembayaran BR1M akan mencecah RM11 bilion.

• Pendekatan ini kurang bijaksana kerana ia menelan belanja yang besar tanpa mengubah struktur ekonomi, sedangkan peruntukan RM7 bilion hingga RM11 bilion setahun itu lebih berkesan jika digunakan untuk menurunkan harga barang, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta dan lain-lain.

PERBANDINGAN JANJI-JANJI UTAMA PAKATAN RAKYAT DAN BARISAN NASIONAL

• Membantu meredakan tekanan sara hidup – Pakatan Rakyat mencadangkan reformasi menyeluruh untuk merubah struktur ekonomi dengan menghapuskan monopoli yang akan menurunkan harga barang keperluan, berbanding Barisan Nasional yang menawarkan RM100 sebulan

• Menurunkan harga kereta – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh 5 tahun, berbanding Barisan Nasional yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20% – 30% sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya

• Menghapuskan tol – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan Barisan Nasional yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya

• Menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma – Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Caruman Wanita Malaysia untuk surirumah tidak bekerja – Pakatan Rakyat akan mewujudkan skim caruman seperti KWSP untuk surirumah tidak bekerja dengan caruman minima RM720 setahun, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Menurunkan harga minyak – Pakatan Rakyat komited untuk menurunkan harga minyak, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Memberikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak – Pakatan Rakyat berjanji mengembalikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak, berbanding Barisan Nasional yang meneruskan pendekatan membelanjakan wang minyak sebagai peruntukan pusat

Saya akan terus mengemukakan analisa khusus terhadap isu perumahan, ekonomi dan lain-lain sepanjang minggu ini melalui penulisan dan video agar rakyat dapat membandingkan kedua-dua manifesto.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat

 Sumber: www.rafiziramli.com